ADDIS ABABA 25 Mac – Ethiopian Airlines ‘melahirkan kepercayaan’ terhadap Boeing walaupun syarikat penerbangan itu baru sahaja berdepan tragedi pesawat Boeing 737 MAX 8 yang mengorbankan 157 orang 10 Mac lalu.
Tragedi itu menyebabkan operasi pesawat jenis itu digantung malah beberapa negara menghalang 737 MAX 8 memasuki ruang udaranya.
“Biar saya jelasnya, Ethiopian Airlines percaya kepada Boeing. Mereka telah menjadi rakan kongsi kami selama bertahun-tahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ethiopian Airlines, Tewolde GebreMariam dalam satu kenyataan di sini.
Penerbangan ET302 terhempas pada 10 Mac lalu hanya beberapa minit berlepas menuju ke Nairobi dan merupakan tragedi kedua melibatkan pesawat Boeing 737 MAX 8.
Pada Oktober tahun lalu, pesawat jenis sama milik Lion Air terhempas di perairan dekat Jakarta, Indonesia dengan 189 orang terbunuh.
“Walaupun berlaku tragedi, Boeing dan Ethiopian Airlines akan terus bekerjasama dengan baik pada masa depan,” jelas GebreMariam. – AFP











