LANGKAWI 25 Mac – Buat julung kalinya, kesemua agensi penguatkuasaan maritim dan penyelidikan di negara ini akan berganding bahu melaksanakan pameran statik dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19).
Berpusat di Resort World Langkawi, segmen maritim bagi acara dwitahunan itu akan menampilkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang akan mempamerkan aset masing-masing.
Malah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan, Insititut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan turut sama sepanjang lima hari penganjuran LIMA ‘19 bermula esok.

Dalam pada itu, selain pameran statik, segmen maritim yang turut menjadi nadi kepada penganjuran pameran terulung itu akan turut mempersembahkan demonstrasi bot maritim kepada delegasi dan orang ramai.
Demonstrasi tersebut akan menggunakan konsep ‘Inter-Agency Coordinated Rescue Mission’ atau demonstrasi menyelamatkan tebusan dan demonstrasi keupayaan pasukan elit berserta aset daripada setiap agensi yang terlibat.
Sementara itu, Cawangan Komunikasi Korporat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, satu aktiviti larian santai yang dikenali sebagai LIMA ‘19 Fun Run membabitkan 400 peserta terdiri daripada petugas-petugas LIMA’19, warga kapal dan agensi-agensi setempat.
“Edisi pertama larian ini dilaksanakan secara tertutup sebagai eksperimen untuk LIMA akan datang. Objektif utama penganjuran LIMA `19 Fun Run adalah untuk mempertingkat interaksi dalam kalangan komuniti maritim yang terlibat serta memupuk gaya hidup sihat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











