ALOR SETAR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan rasa kesal khususnya terhadap individu beragama Islam yang terlibat dalam gejala rasuah sedangkan ajaran agama melarang kegiatan itu.
Beliau berkata, kita sering menekankan kepada tuntutan agama untuk melakukan amalan wajib dan menjauhkan diri daripada yang dilarang.
“Malangnya, kita tidak sedar atau memilih untuk tidak ambil berat mengenai betapa besarnya dosa kita yang amalkan rasuah dan salah guna kuasa untuk kepentingan diri.
“Seolah-olah bagi kita integriti itu bukan tuntutan Islam sehingga kita tidak merasa malu apabila melakukannya dan jika kita didapati melakukannya, ia tidak dipandang hina,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya mengikis mentaliti materialistik, suka jalan mudah dan keinginan untuk cepat kaya kerana ia boleh membawa kepada rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa. – Bernama











