KUALA LUMPUR 24 Mac – Polis mengesahkan kejadian tular melibatkan pemandu sebuah bas awam dengan seorang lelaki di Jalan Sulaiman, Kajang, kelmarin hanya salah faham.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, pihaknya ada menerima laporan polis daripada pemandu bas berusia 44 tahun tersebut pada Jumaat lalu kira-kira pukul 10.13 malam.
“Pergaduhan tercetus akibat salah faham selepas pemandu bas membunyikan hon terhadap sebuah lori yang menghalang laluannya, namun seorang lelaki berusia 54 tahun yang turut meletakkan keretanya di tepi jalan menyangkakan kenderaannya yang menghalang laluan tersebut.
“Ketika suspek sedang menuju ke keretanya, mangsa masih membunyikan hon menyebabkan suspek menampar cermin bas tersebut sehingga tercetus pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, semasa pergelutan, mangsa telah terjatuh dan mengalami luka di dahi menyebabkannya memegang leher suspek sebelum dileraikan orang ramai.
“Selepas laporan polis dibuat, kedua-dua lelaki tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan, namun mereka bersetuju untuk berdamai dan mengakui kejadian berlaku akibat salah faham.
“Mangsa telah menarik balik aduan yang dibuat, sehubungan dengan itu, pihak polis tidak sebarang membuka kertas siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











