SHAH ALAM 24 Mac – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) optimis skuad lelaki dan wanita mereka berpeluang cerah untuk menjuarai Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) yang akan bermula April nanti.
Setiausaha Agungnya, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, sasaran untuk bergelar juara dalam liga itu dilihat realistik berdasarkan persiapan yang dilakukan kedua-dua pasukan.
“Kami melihat semua pasukan yang menyertai MPFL akan memberi tentangan hebat, cuma untuk skuad lelaki, kami fikir Pahang merupakan pasukan kuat, namun yang lain tidak pasti lagi.
“Kedua-dua pasukan (lelaki dan wanita) mampu bergelar juara, cuma mereka perlu kerja lebih kuat dan yakin antara satu sama lain ketika berkasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Kontrak Pasukan Futsal Selangor di Hotel Concorde, di sini hari ini.
Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang juga merupakan Presiden FAS berkenan mencemar duli ke majlis tersebut.
Dalam majlis tersebut, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diwakili Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan manakala Mimi Afzan Afza mewakili Kelab Futsal MAC telah bekerjasama dengan FAS dalam mempersiapkan pasukan masing-masing bagi menyertai kejohanan futsal tersebut.
Mengulas lanjut, Johan Kamal berkata, pihaknya juga kini sedang dalam persiapan untuk melayakkan pasukan itu menyertai Kejohanan Juara-Juara Asia 2020.- UTUSAN ONLINE











