KUALA LUMPUR – Rekod 200 meter (m) kebangsaan dengan catatan 20.90 saat (s) milik Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan akhirnya lebur di tangan Russel Alexander Nasir Taib.
Russel Alexander, 21, mencetak masa menakjubkan 20.77s sewaktu meraih pingat perak 200m Trek Klasik Queensland di Australia sebentar tadi sekali gus memadam rekod Khairul Hafiz yang dilakukannya dua tahun lalu.
Ternyata, usaha keras Russel Alexander akhirnya menuai hasil cukup cemerlang selepas beberapa percubaannya untuk memadam rekod itu sepanjang tahun ini tidak berjaya.
Russel Alexander gagal dalam percubaan pertama pada hujung Januari lalu apabila mencatatkan 20.94s sebelum atlet pecut berdarah campuran Malaysia-Australia itu merakam masa 21.10s dalam kejohanan kedua awal bulan ini.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim mengesahkan rekod tersebut sambil mendedahkan Russel Alexander bakal menerima insentif RM1,000 kerana mencipta rekod baharu kebangsaan.
Karim juga memberitahu, Russel bakal menerima RM20,000 daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) sebagai penghargaan atas usahanya menjalani latihan di Australia tanpa sebarang bantuan.
Antara atlet olahraga negara yang turut mencatat keputusan cemerlang pada kejohanan itu ialah Muhammad Hakimi Ismail apabila menjuarai acara lompat kijang menerusi catatan 16.47m.
Jagoan lompat tinggi negara, Lee Hup Wei juga cemerlang apabila berjaya meraih pingat gangsa selepas melepasi had ketinggian 2.20m. – K! ONLINE











