PUTRAJAYA – Kajian cadangan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah yang dimaksudkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Bil 1/2019 semalam adalah kajian berkaitan keperluan untuk mewujudkan Mahkamah Tinggi Khas (Rasuah) dan Mahkamah Rayuan Khas (Rasuah).
Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, cadangan penubuhan mahkamah itu bertujuan mempercepatkan perbicaraan kes-kes rasuah yang dikendalikan Mahkamah Khas Rasuah di peringkat Mahkamah Sesyen buat masa ini.
“Untuk makluman, ketika ini, Mahkamah Khas Rasuah telah wujud di peringkat Mahkamah Sesyen.
“JKKMAR Bil 1/2019 yang diadakan semalam telah membincangkan beberapa perkara antaranya termasuk cadangan berkaitan penambahbaikan mahkamah khas rasuah,” katanya di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, Mesyuarat JKKMAR juga bersetuju supaya penubuhan Mahkamah Khas Rasuah di peringkat yang lebih tinggi dikaji memandangkan ia turut membabitkan penstrukturan semula.
“Cadangan penambahbaikan yang dikemukakan dalam JKKMAR adalah bertujuan mempercepatkan tunggakan kes di mahkamah.
“Beberapa cadangan telah dipersetujui di dalam mesyuarat tersebut termasuk menambah Mahkamah Sesyen Khas Rasuah sedia ada,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan mahkamah khas rasuah dicadang untuk ditubuhkan bagi memastikan kes-kes rasuah diberi masa dan penekanan oleh mahkamah yang tertumpu untuk kes tersebut.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, JKKMAR yang bermesyuarat semalam memutuskan cadangan penubuhan mahkamah khas itu berikutan perbicaraan kes-kes rasuah dianggap sebagai perbicaraan biasa tanpa diberi sebarang keutamaan. -K! ONLINE











