KUALA LUMPUR 20 Mac – Seorang tukang masak maut digilis selepas motosikal ditunggangnya terbabas melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 441.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Utara, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa dikenali Basori Nanyan, 41, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan di tengah lebuh raya.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan lalu digilis beberapa buah kenderaan yang tidak sempat mengelak.
“Siasatan di lokasi kejadian terdapat kesan cebisan mayat mangsa sepanjang kira-kira 50 meter,” katanya di sini hari ini.
Menurut Samsor, motosikal mangsa dijumpai di laluan kecemasan arah selatan dipercayai telah dialihkan selain terdapat kerosakan pada bahagian hadapan dan kiri.
“Usaha mengesan saksi bebas masih dijalankan dan polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat atau mengetahui kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











