SEPANG – Percutian 21 orang rakan sekolah yang mengadakan rombongan pertemuan semula di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada Khamis lalu bertukar tragedi apabila dua daripada mereka meninggal dunia ekoran kejadian gempa bumi.
Menceritakan detik cemas sewaktu bencana itu berlaku, salah seorang mangsa yang terselamat, Ong Lee Jye, 56 memberitahu, dia dan 20 rakan sekolahnya sewaktu menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Jementah, Johor telah memilih untuk membuat rombongan pertemuan semula ke Lombok.
Jelasnya, sewaktu kejadian gempa bumi berlaku, 17 orang daripada rombongan itu telah pergi Air Terjun Tiu Kelep Senaru untuk menikmati keindahan kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, sewaktu gegaran berlaku, keadaan menjadi kecoh. Kami semua bertempiaran lari namun, kaki saya tersangkut pada batu sehingga tercedera sewaktu menyelamatkan diri.
“Paling sedih, saya melihat dua rakan kami iaitu Datin Tai Siew Kim dan Lim Sai Wah meninggal dunia di kawasan itu. Mereka berada bersama kami namun, sewaktu gegaran saya melihat batu besar telah menghempap Siew Kim dan Sai Wah,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.
Terdahulu, 17 orang mangsa yang selamat dalam kejadian gempa bumi itu tiba di
KLIA2 di sini kira-kira pukul 3.29 petang tadi.
Kepulangan mereka disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.
Bercerita lebih lanjut mengenai tragedi tersebut, menurut Lee Jye yang kini menetap di Ipoh, Perak, sewaktu kejadian berlaku, dia melihat Sai Wah meminta tolong meski kakinya dihempap batu sebelum meninggal dunia.
“Sebelum kejadian, kami mendaki ke tingkat paling tinggi di air terjun itu selama 40 minit. Sewaktu tiba, saya dengar bunyi dentuman kuat seperti bom dan batu-batu di kawasan air terjun itu jatuh ke tanah.
“Saya masih trauma dengan kejadian ini apatah lagi melihat dua rakan maut dalam satu masa. Meskipun kawasan itu cantik, saya tidak mahu lagi pergi ke sana,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Cheong Kim Leong, 56, berkata, ketika kejadian itu berlaku, dia dan isteri tidak mengikuti rombongan ke kawasan air terjun berkenaan sebaliknya mereka di restoran di Pantai Sengigi.
Beliau berkata, dia bersama isteri, ibu dan bapa saudaranya sedang menjamu selera sebelum merasai gegaran ekoran gempa bumi di kawasan tersebut.
“Saya tidak ke air terjun kerana isteri saya kurang sihat. Ketika itu, saya sedang makan dan merasa ada pergerakan di tanah sebelum penduduk setempat lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri.
“Terus terang, saya rasa menyesal tidak mengikut mereka ke air terjun. Saya mahu bantu mereka sewaktu kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Raja Nurshirwan berkata, Wisma Putra sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia sekiranya berlaku kejadian luar jangka di luar negara.
Jelasnya, kerajaan berlaku adil terhadap semua mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut dan beliau juga berharap agar tiada sebarang penyebaran khabar angin berkaitan bencana tersebut. – K! ONLINE











