Kotor: Restoran masakan Thai diarah tutup - Utusan Malaysia

Kotor: Restoran masakan Thai diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 19 Mac – Sebuah restoran masakan Thailand yang di beroperasi di pusat komersial di Presint 8 di sini diarah tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan kotor.

Notis perintah tutup bermula hari ini hingga 4 April depan itu dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Periksa Premis Makanan di Putrajaya yang dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).

Menurut Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim, pemeriksaan pihaknya mendapati restoran itu melakukan pelbagai kesalahan seperti dapur dan peti ais yang kotor selain meletakkan makanan secara tidak teratur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan juga mendapati premis itu melakukan pengubahsuaian yang tidak dibenarkan, menyimpan makanan berkulat di dalam peti, kesalahan saliran serta kesalahan mengenai papan iklan.

NOTIS perintah tutup yang ditampal. - UTUSAN ONLINE/ HAKIMI ISMAIL
NOTIS perintah tutup yang ditampal. – UTUSAN ONLINE/ HAKIMI ISMAIL

“Berikutan itu, kita telah mengarahkan restoran tersebut ditutup. Pemilik boleh membuka semula premis kurang daripada tempoh 14 hari namun, perlu menepati piawaian yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, dalam operasi itu juga, sebanyak lima premis lain telah diperiksa mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2012 dan Akta Makanan 1983.

“Secara keseluruhan, kita pada hari ini telah mengeluarkan 10 kompaun atas pelbagai kesalahan selain satu kedai diarahkan tutup. Operasi ini demi memastikan aspek kebersihan diberi keutamaan oleh peniaga,” katanya.

Dalam pada itu katanya, mengikut statistik, pada tahun lalu sebanyak 350 premis berlesen telah direkodkan dengan 207 premis telah diberi pengredan A dan sebanyak 169 premis diberi pengredan B.

“Sepanjang tahun lalu, PPj telah mengeluarkan sebanyak 112 kompaun, 43 notis amaran dan telah mengarahkan penutupan 11 premis,” katanya.

Untuk tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula katanya, sebanyak 15 premis telah diberikan pengredan A manakala, 20 premis diberi pengredan B dengan lapan kompaun dan empat notis dikeluarkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini