Canselor UiTM: Pemasyhuran Agong lambang kekuatan Melayu - Utusan Malaysia

Canselor UiTM: Pemasyhuran Agong lambang kekuatan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Mac – Pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) disambut dengan rasa gembira golongan bumiputera.

Pelantikan Seri Paduka juga sekali gus menggambarkan institusi pengajian tinggi tersebut menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu sebagai teras utama politik negara menerusi konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Itu merupakan pandangan Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif yang turut berkeyakinan Al-Sultan Abdullah mampu menerajui UiTM di samping terus memperkasa institusi pengajian tinggi tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Sultan Abdullah juga disifatkan sebagai seorang raja yang ‘telah jauh berjalan dan luas pengalaman’ kerana menerima pelbagai disiplin pendidikan sama ada dari dalam mahu pun luar negara.

“Presiden Perkasa, Datuk Dr. Ibrahim Ali bersama semua warga Perkasa mengambil kesempatan mempersembahkan ucapan tahniah dan syukur atas pemasyhuran Seri Paduka sebagai Canselor UiTM yang merupakan satu-satunya universiti khusus melahirkan graduan bumiputera.

“Yang di-Pertuan Agong melambangkan kekuatan dan keutuhan orang Melayu. Al-Sultan Abdullah pasti dapat memperkasakan institusi ini dalam menjaga kepentingan golongan bumiputera agar terus unggul dalam semua bidang profesional bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini