LONDON 19 Mac – Jurulatih skuad ragbi Wales, Warren Gatland percaya pasukannya mampu membawa pulang trofi Piala Dunia dalam kempen kali ini selepas melihat prestasi semasa mereka menjelang kejohanan berprestij itu pada 20 September hingga 2 November ini di Jepun.
Skuad kendalian Gatland ketika ini berada di tahap membanggakan apabila meraih 14 rekod kemenangan di bawah bimbingan jurulatih berkenaan.
Lebih membanggakan dalam 14 kemenangan tersebut turut menyaksikan Wales tidak berdepan masalah menewaskan Afrika Selatan dua kali serta Australia yang juga pasukan bakal ditentang sewaktu peringkat kumpulan Piala Dunia 2019 di Jepun.
“Saya tahu semua pemain tidak akan turun tanpa beraksi dengan sebaiknya.
“Kini kami mempunyai kumpulan pemain yang cukup istimewa malah saya berani berjanji bahawa mereka pasti memberikan 100% dalam semua perlawanan Piala Dunia nanti,” kata Gatland.
Ketika ini Wales berada di ranking kedua dunia selepas memintas Ireland manakala No.1 dunia menjadi milik New Zealand. – AGENSI











