KUALA LUMPUR 18 Mac – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjanji akan memastikan segala keperluan golongan petani dan pesawah di negara ini mencukupi.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan membela nasib golongan tersebut tanpa sebarang pilih kasih.
Tegasnya, beliau mahu melihat sektor ekonomi golongan itu menjadi lebih besar dan bermakna kerana menyumbang kepada sumber makanan asas di negara ini.
“Kerajaan akan terus memastikan kecanggihan dalam bidang teknologi dan pendekatan yang akan terus kita teroka sehinggalah kepada penggunaan baja dan teknologi terkini akan dapat mengurangkan kos petani serta meningkatkan hasil.

“Sebagai menteri, saya berjanji akan berjuang untuk anda semua, memberikan segala kecukupan, pembelaan sekiranya dizalimi serta memastikan kebajikan sekiranya anda memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam majlis Anugerah Tani Bernas (ATB) 2019 di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Megat Joha Megat Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Salahuddin menasihatkan Bernas agar tidak terlalu selesa dengan pencapaian dikecapi sepanjang 25 tahun penubuhannya, sebaliknya terus bergerak ke depan bagi memastikan terus unggul dan dapat bersaing dengan syarikat besar bertaraf antarabangsa. -UTUSAN ONLINE











