Harap Mat Yo sempat pulih - Utusan Malaysia

Harap Mat Yo sempat pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Mac – Tatkala dua tonggak, Kenny Pallraj dan Ni­cholas Swirad masih dibelenggu kecederaan, jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menerima satu lagi berita kurang baik apabila penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha mengalami demam panas.

Norshahrul, 33, atau lebih dikenali Mat Yo direhatkan da­ripada latihan hari ini, namun Cheng Hoe tetap yakin pemain itu sempat sembuh sebelum Malaysia menentang Singapura dalam aksi pembukaan Piala Air Marine di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Katanya, Malaysia memerlukan barisan terkuat bagi memenuhi misi muncul juara, sekali gus memperbaiki ­ranking dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sampai hari ini kami belum menentukan senarai akhir pasukan.

“Hanya 22 akan dipilih dan tiga digugurkan tetapi semua itu hanya ditentukan esok selepas melihat perkembangan pemain yang cedera kerana kita mahu menyenaraikan mereka yang cergas sepenuhnya.

“Kemungkinan besar Nicholas tidak sempat pulih untuk kejohanan ini tetapi saya berharap Mat Yo dan Kenny dapat kembali cergas untuk aksi lawan Singapura.

“Kita perlukan Mat Yo sebab pengalamannya di pentas antarabangsa sangat luas dan boleh membantu pasukan,” kata Cheng Hoe ketika ditemui dalam sesi latihan skuad negara di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe menyeru pemain Harimau Malaya agar mengawal emosi ketika menentang Singapura nanti.

Cheng Hoe sedar pertembungan Malaysia-Singapura mempunyai sejarah tersendiri selain prestasi terkini pasukan di ranking ke-165 dunia itu pastinya menjanjikan satu perlawanan yang sengit.

“Kita nak baiki ranking kita dan pada masa sama menjuarai kejohanan sulung ini.

“Apa yang penting pemain tidak boleh emosi dalam perlawanan kerana tidak mahu dilayangkan kad merah atau kuning yang pastinya boleh menjejaskan rentak pasukan.

“Singapura pasti menghantar pasukan terbaik walaupun mereka tidak membawa dua orang anak Fandi Ahmad (Irfan dan Ikhsan) dan mereka juga ingin dapatkan satu keputusan terbaik.Seperti kita tahu, keputusan amat penting buat kedua-dua negara,” ujarnya.

Dalam dua pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia menewaskan Singapura 3-1 pada saingan kumpulan Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Singapura,

Pasukan negara kemudian seri tanpa jaringan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Jalan Besar pada 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini