ALOR SETAR – Cubaan tiga individu menipu pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah bagi mendapatkan Pasport Malaysia Antarabangsa untuk tiga kanak-kanak warga Sri Lanka gagal apabila mereka ditahan di Sungai Petani dekat sini hari ini.
Mereka yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan itu ditahan ketika berurusan di Pejabat JIM di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sungai Petani kira-kira pukul 1.13 petang tadi.
Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, tiga individu terbabit hadir ke kaunter imigresen dan mengaku sebagai penjaga kepada kanak-kanak warga asing tersebut.
“Mereka membawa sijil kelahiran yang didakwa milik tiga kanak-kanak dari Sri Lanka itu bagi membuat permohonan pasport.
“Pemeriksaan bagaimanapun mendapat sijil kelahiran yang dikemukakan adalah milik anak kandung mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, kata beliau, wujud keraguan apabila ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris.
“Hasil soal siasat yang dijalankan Pegawai Imigresen UTC Sungai Petani diketuai Farahanun Zainal, tiga warga tempatan itu akhirnya mengaku bahawa semua kanak-kanak yang dibawa bukanlah anak mereka tetapi merupakan warga Sri Lanka,” ujarnya.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 41 tahun bersama kanak-kanak warga asing berusia antara 13 hingga 15 tahun itu ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JIM Kedah untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE











