Haramkan Pak Kaduk sabung ayam - Utusan Malaysia

Haramkan Pak Kaduk sabung ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini berlangsunglah Kongres Maruah Melayu. Pelbagai pihak sudah memperkatakannya, menganalisis dan mengulas mengenainya sejak agenda ini diumumkan kepada khalayak sepurnama nan lalu.

Yang melihat dari sisi politik, kongres ini pantas dicantas tidak lebih daripada sekadar hasrat parti pemerintah untuk menyaingi Himpunan Penyatuan Ummah kelolaan UMNO-Pas, juga sepurnama nan lalu.

Yang melihat dari sisi keberadaan orang Melayu dalam era Malaysia Baharu, berharap sangat agar kongres ini dapat menjadi wadah yang menguntungkan orang Melayu dalam serba-serbi bidang.

Yang melihat dari kaca mata sinis, acara ini adalah manifestasi betapa kemaruknya bangsa Melayu berpolitik berantakan sesama sendiri, ketika alkisah Pak Kaduk menang sabung ayam, kampungnya sendiri tergadai – begitu nyaring realitinya.

Bangsa lain mencemuh mengatakan kongres ini mengembalikan semula era ketuanan Melayu yang bertentangan dengan semangat kesamarataan yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Biarkan mereka mencemuh Tun Dr. Mahathir Mohamad tahu apa yang mesti dilakukan dan setakat cemuhan tidak menghalang diri beliau untuk hadir hari ini.

Kenapa Merrepak memilih Kongres Maruah Melayu? Bukankah ini isu yang sangat berat, yang tidak boleh dipersenda, apa lagi diambil ringan? Sesungguhnya, itulah sebenar-benar alasan dan faktor pendorong Merrepak mengulas mengenainya hari ini.

1. POSITIF

Pertamanya, agenda Kongres Maruah Melayu ini harus dipandang positif, jika matlamat dan pelaksanaannya adalah benar-benar untuk kemajuan, masa depan dan pembelaan orang Melayu Islam dalam era Malaysia Baharu ini.

Dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan amanat besar, amanat akhir atau amanat muktamad untuk bangsa Melayu, tentunya semua orang Melayu tanpa mengira aliran politik tertunggu-tunggu untuk mendengarnya.

Tetapi bila berkumandang ayat-ayat yang lebih mirip kepada kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai atau apa sahaja yang bersifat bidasan parti, maka emosi dan motif kongres akan dipersoalkan sebagai tidak menepati agenda Melayu yang bebas daripada politik.

Oleh itu, baik panel-panel pembentang mahupun Perdana Menteri sendiri, intipati hujah-hujah mereka diharap melangkaui makna frasa retorik semata-mata, menjauhi laungan slogan bergema seketika cuma di dalam dewan atau yang berakhir sebagai hangat-hangat tahi ayam.

Berpidato membakar semangat, meniupkan azam dan mengalun melankoli memaksa sebak di dada, bukan tidak boleh. Elemen ini penting dalam usaha menangkap jiwa pendengar kerana jiwa Melayu itu begitu sentimental. Lagi mendayu, lagi syahdu, lagi dirindu, lagi menangis tanpa malu.

Ya, anda boleh buat orang menitis air mata. Beritahulah bangsa Melayu bahawa mereka sedang ditertawakan, dipijak hingga hilang nyawa, agama Islam dipersenda, Raja Melayu ‘difacebookkan’ oleh bukan sahaja bangsa lain tetapi juga bangsa sendiri. Beritahulah semua, mudah-mudahan insaf.

2. SISTEMATIK

Tetapi hujah-hujah yang diperdengarkan dalam kongres juga hendaklah melangkah jauh lagi daripada sekadar retorik dan melankolik.

Ia mesti disertai dengan gerak tindak bersistematik, langkah-langkah yang ada aturan semak dan seimbang dan sasaran-sasaran muktamad, yang jika tidak dicapai haruslah diaudit sehingga ke tahap sehalus-halusnya.

Segala cadangan dan aspirasi yang dibentangkan dalam kongres, hendaklah dicatat dan disusuli dengan gerak tindak oleh pihak berkaitan, misalnya Teraju iaitu Unit Peneraju Agenda Bumiputera yang ditubuhkan pada 2011.

Namun ada sesuatu yang aneh bila membelek laman web rasmi Teraju, semalam. Sejarahnya ditukar. “Teraju ditubuhkan… sebagai unit strategik di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bertujuan meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara”.

Mohon maaf ya. Saya telah membuat liputan Teraju sekian lama dan amat yakin Teraju adalah sebuah entiti strategik ditubuhkan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diberi mandat sebagai penyelaras tunggal bagi menerajui, memacu dan menyelaras penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara selaras dengan Pelan Transformasi Negara.

Kenapa dan mengapa sejarah ini diubah, malas saya hendak ulas di sini. Jika Teraju pun sudah dipalit elemen politik, anda teka sendirilah apa hendak jadi sekarang.

3. KEPARTIAN

Atas faktor ini jugalah, kita amat berharap malah ke tahap merintih agar segala yang disampaikan dalam kongres hari ini mengatasi sempadan kepartian tetapi berpaksi kepada agenda Melayu itu sendiri, terutamanya.

Walaupun Teraju sudah ditukar sejarah asal-usul penubuhannya, biarlah. Asalkan mereka bahagia. Tidak pasti apakah mereka diberi peranan dalam kongres hari ini? Hadir atau tidak pun tidak pasti.

Seharusnya Teraju bukan sahaja hadir tetapi mesti memainkan peranan penting dalam kongres sebagai pemantau pelaksanaan semua cadangan dan perancangan yang dibentangkan. Malah amanat Tun Dr. Mahathir tidak wajar ditinggalkan sekadar jadi slogan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×