ISA Kejam! - Utusan Malaysia

ISA Kejam!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN pahit yang pernah dialami oleh ramai individu yang pernah ditahan di bawah Akta Ke­selamatan Dalam Negeri (ISA) membuktikan bahawa akta itu bersifat ‘penahanan pencegahan’ (preventive detention) dianggap undang-undang paling zalim, kejam lagi sadis kerana menyekat kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.

Pengakuan tiga tokoh yang pernah ditahan di bawah ISA, Dr. Syed Husin Ali, Dr. Kassim Ahmad dan Saari Sungib mendedahkan kepada umum bahawa undang-undang lapuk itu tidak relevan lagi pada zaman moden.

Dr. Syed Husin menulis pengalamannya dalam buku Two Faces: Detention Without Trial (1996), Dr. Kassim Ahmad dengan Universiti Kedua: Kisah Tahanan Di Bawah ISA (1983) dan Saari Sungib me­nulis Suara Dari Kamunting (2001).

Lain-lain tokoh seperti Abdul Aziz Ishak dengan Tamu Istimewa: Kisah Penahanan Seorang Bekas Menteri Kabinet di Malaysia (1988), Dr. Kua Kia Soong melalui bukunya 445 Days Behind the Wire (1989), Dr. Tan Seng Giaw dengan The First 60 Days: The 27th October ISA Arrest (1989) dan Poh Boon Sing dengan Fragments From Kamunting (1990).

Syed Husin ditahan berikutan demonstrasi yang menyokong petani-petani Baling membantah akibat kemiskinan dan kenaikan harga barang pada 1974.

Beliau ditahan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim pemimpin Angkatan Belia Islam (ABIM), Tunku Shamsul Bahrin pensyarah geografi di Universiti Malaya dan Ibrahim Ali yang ketika itu Ketua Siswa Institut Teknologi Mara (ITM) dan Lau Heng Neng pemimpin Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Malaya.

Two Faces mengimbau pengalaman pahit Dr. Syed Husin yang pernah ditahan hampir enam tahun di bawah ISA. Selepas ditahan hampir dua tahun di Kamunting, Perak beliau dikurung secara berseorangan selama enam bulan di suatu lokasi yang tidak diketahui di Kuala Lumpur. Semasa ditahan itulah beliau disoal siasat dan dikenakan berbagai-bagai penyeksaan serta deraan. Ketika itu Dr. Syed Husin merupakan seorang pensyarah sains politik di Universiti Malaya.

Syed Husin juga cuba dibabitkan dengan beberapa tokoh politik serta wartawan yang telah ditahan atas tuduhan terlibat dengan apa yang didakwa sebagai ‘konspirasi komunis’ di Singapura dan Malaysia era 1970-an.

Paling menarik perhatian ialah apabila ada cubaan untuk membabitkan beliau dengan beberapa orang tokoh politik dan pemimpin kanan UMNO ketika itu termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kira-kira dua puluh satu tahun dulu saya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beberapa orang pegawai polis telah mengejutkan kami dari tidur dan mengambil saya dari rumah pada awal pagi 7 Disember 1974.

“Selepas hampir enam tahun ditahan, saya dibebaskan pada 25 September 1980. Saya tidak sangka boleh ditahan sebegitu lama, tanpa bicara” (Syed Husin Ali 1996).

Syed Husin turut mencatatkan detik-detik pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagaimana beliau ditangkap dalam bab pertama ‘Arrest’ (penangkapan).

“Buka! Buka! Ini polis”. Dua tiga ekor anjing menyalak di sekitar kawasan.

“Ini rumah Syed Husin Ali ke?

“Ya” jawab saya.

“Dia di rumah?”

“Sayalah!”

“Saya diperin­tah untuk menangkap encik di bawah undang-undang ISA…” (Syed Husin Ali 1996: 4).

Two Faces dalam tajuk The Loc-up seterusnya menggambarkan lokap tempat Syed Husin ditahan di bawah ISA pada tahun 1974 tidak layak diduduki manusia.

“Rumah baruku bilik kecil berdinding batu dan berpintu besi. Sudah tua nampaknya. Cat dinding terkopek bertompok-tompok. Setiap penjuru penuh dengan sarang labah-labah; cuma penjaganya saja tiada. Dalam bilik itu tidak banyak ruang untuk berjalan. Saya menganggap luasnya kira-kira 10 x 8 kaki. Boleh bergerak empat lima langkah saja satu hala. Pintu sentiasa berkunci” (Syed Husin 1996: 13)

Seterusnya dalam bab Interrogation, Syed Husin menceritakan perbualannya bersama Ibrahim Ali yang turut ditahan ISA pada 1974.

“Mereka hendak tahu benar tentang satu perkataan yang saya gunakan dalam sebuah kenyataan saya – ‘Revo­lusi Rakyat’. Nampaknya marah benar mereka dengan perkataan itu, demikian Ibrahim (Ibrahim Ali) suatu hari, dengan bibirnya termoncong-moncong, memperlihatkan gigi depannya yang jongang” (Syed Husin Ali 1996: 28).

Syed Husin menyatakan ISA menyimpang jauh daripada tujuan asalnya iaitu untuk membendung kegiatan komunis militan dan sewajarnya dihapuskan terus akta itu yang dianggap sebagai zalim.

“Kadang-kadang orang bo­leh dicap, dituduh, ditahan dan diseksa sehingga terpaksa membuat pengakuan (yang ada kalanya palsu). Harapana saya ialah catatan ini akan dapat mengingatkan kita betapa zalimnya akta itu dan betapa terbukanya ia kepada pe­nyalahgunaan (kuasa), kata Syed Husin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×