FS Feed makanan alternatif akuakultur - Utusan Malaysia

FS Feed makanan alternatif akuakultur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKANAN hidup bagi larva ikan dan udang di peringkat awal tumbesaran terutama sekali Artemia (Artemia salina) menampung industri akaukultur yang dianggar bernilai berbillion dolar.

Organisme makanan hidup seperti Rotifers, Artemia nauplii, Copepod biasanya diberikan kepada larva ikan dan udang kerana saiznya yang kecil dan mudah dicerna.

Walau bagaimanapun, saiz mulut larva menentukan jenis makanan hidup yang sesuai. Secara amnya saiz makanan hidup mestilah lebih kecil berbanding bukaan mulut larva ikan.

Terdapat beberapa masalah dalam pengkulturan Artemia antaranya ketidaktentuan pengeluaran, kualiti dan kuantiti makanan hidup menyebabkan pengeluaran anak ikan dan udang turut terjejas.

Oleh kerana Artemia hanya dapat dihasilkan di tasik yang berkemasinan tinggi, maka pengeluarannya mencapai tahap maksimum manakala industri akuakultur sedang berkembang pada kadar sembilan peratus setiap tahun.

Adalah dijangka pada masa akan datang penghasilan Artemia tidak lagi dapat menampung industri akuakultur.

Selain itu, industri Artemia juga meninggalkan kesan jejak karbon yang tinggi pada alam sekitar dan merupakan vektor untuk pelbagai penyakit pada anak ikan dan udang kerana makanan hidup ini dikultur sistem yang terbuka.

Sejak kebelakangan ini, penyelidikan intensif dijalankan untuk mencari pengganti penuh atau separa makanan hidup terutama sekali Artemia. Rumusan makanan mikro telah diperkenalkan kepada penternak bagi menggantikan makanan hidup bagi larva ikan dan udang.

Rumusan makanan mikro mempunyai komposisi nutrisi yang seragam berbanding makanan hidup yang dapat disesuaikan dengan keperluan spesies tertentu atau tujuan penyelidikan tertentu.

Sehubungan itu, sekumpulan penyelidik Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta sejenis rumusan makanan mikro iaitu produk FS Feed bagi menggantikan makanan hidup sepenuhnya.

Penyelidikan ini diketuai oleh Dr. Muhammad Fadhil Syukri dengan dibantu oleh Dr. Nadiatul Hafiza, Dr. Mas Jaffri Masaruddin, Siti Nur Ain Azahar dan Muhammad Azfar Ismail.

Menurut Muhammad Fadhil, penyelidikan tersebut bermula pada awal Januari tahun lalu dan prototaip produk siap pada September tahun yang sama.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, kajian dijalankan bagi membantu kumpulan sasar seperti penternak termasuk penyelidik dalam industri akuakultur yang amat bergantung kepada penggunaan makanan hidup seperti Artemia dan Rotifer.

Selain itu, penghasilan makanan hidup yang tidak menentu mengganggu penghasilan benih ikan dan udang.

Dari situ bermula kajian mengenai mikro diet yang boleh menggantikan sepenuhnya makanan hidup.

Makanan kos terbesar

MAKANAN adalah kos terbesar dalam industri akuakultur termasuk pemakanan awal iaitu makanan hidup.

Masalah utama adalah penghasilan makanan hidup, penjagaan dan mengekalkan pengeluaran secara berterusan. Penjagaan makanan hidup memerlukan tenaga mahir untuk menjamin kuantiti dan kualiti.

Selain itu, makanan hidup merupakan vektor kepada pelbagai jenis penyakit.

Walau bagaimanapun kata Dr. Muhammad Fadhil Syukri, peranan makanan hidup amat besar dalam industri akuakultur kerana kebanyakan spesies dalam industri ini amat bergantung kepadanya.

Justeru kata beliau, FS Feed dicipta bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya makanan hidup dalam industri akuakultur.

“Harapan kami adalah untuk memudahkan penternak akuakultur dalam menghasilkan benih ikan dan udang melalui sistem ternak tanpa makanan hidup (Zero life feed system) dan pada masa sama dapat mengurangkan kos antara 10 hingga 15 peratus menerusi penggunaan FS Feed.

“Kami bercadang meluaskan produk ini ke pasaran Asia Tenggara dan seterusnya ke serata dunia,’’ kata beliau lagi.

Dana dalaman bantu penyelidikan

Pada awal pembangunan, FS Feed tidak dibiaya oleh mana-mana pihak.

Namun, bagi memulakan proses pemasaran, Innohub UPM bersetuju membiayai proses pembangunan produk ini menerusi pemberian geran.

Innohub UPM telah banyak membantu dari segi nasihat dan hala tuju pembangunan produk FS Feed.

Dr. Muhammad Fadhil Syukri berkata, FS Feed dikhususkan untuk menggantikan Artemia sepenuhnya atau pada dua minggu awal permulaan makanan larva ikan dan udang.

“Makanan ikan ini merupakan keluaran tempatan yang setanding dengan produk import.

“Ia mengandungi protein dan lipid yang tinggi iaitu lebih 40 peratus bagi membantu tumbesaran larva ikan dan udang yang sempurna.

“Rumusan asas FS Feed ini terdiri daripada minyak ikan dan protin yang berkualiti tinggi.

“FS Feed disteril sebelum dibungkus secara kedap udara. Penggunaannya pada peringkat awal dapat meningkatkan tumbesaran antara 10 hingga 20 peratus bergantung kepada spesies ikan,” katanya.

FS Feed mula diperkenalkan sejak tahun lepas dan kini mendapat permintaan yang tinggi daripada penternak tempatan. Produk ini sesuai bagi semua jenis larva ikan dan udang air tawar (jenis Kap), ikan hiasan, udang galah dan beberapa jenis ikan air masin.

Terdapat variasi pilihan saiz FS Feed dikeluarkan iaitu antara 150 hingga 500 milimeter yang sesuai untuk jurang mulut larva ikan dan udang.

FS Feed memberi penyelesaian yang terbaik kepada industri akuakultur tempatan kerana penternak tidak perlu bergantung kepada makanan hidup serta dapat mengurangkan penyakit dalam sektor akuakultur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×