SUNGAI PETANI 26 Sept. – Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah yang berlangsung di sini, hari ini, hampir sebulat suara menolak pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 pada April lalu, kerana disifatkan oleh ahli-ahlinya sebagai satu bentuk campur tangan politik dalam pertubuhan itu.
Keputusan tersebut sekali gus mungkin akan mempengaruhi PPN-PPN di negeri-negeri lain yang bakal mengadakan mesyuarat agung masing-masing dalam masa terdekat.
Pengerusi PPN Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman berkata, menerusi pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019, membolehkan sebahagian Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan PPN dilantik melalui kuasa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Kata beliau, di peringkat Nafas, seramai enam orang AJP Nafas boleh dilantik di bawah kuasa menteri itu dan hanya lima orang melalui pemilihan mesyuarat agung pertubuhan tersebut.
“Begitu juga di peringkat PPN, seramai lima orang AJP PPN boleh dilantik oleh menteri terlibat dan hanya empat orang sahaja dipilih melalui mesyuarat agung PPN.
“Ini menunjukkan bahawa adalah jelas PPN menolak sebarang bentuk campur tangan politik dalam pertubuhan peladang (PPN) dan perkara ini disuarakan melalui mesyuarat agung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Agung PPN Kedah di sebuah hotel di sini, hari ini, yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Azman Nasruddin.
Sebelum ini, kesemua 42 PPK yang menaungi 100,000 orang petani di negeri ini membantah sekeras-kerasnya terhadap pindaan komposisi AJP pertubuhan itu yang dianggap campur tangan politik.
Pindaan yang berkuat kuasa 1 Mei lalu itu, telah mencabul hak ahli-ahli pertubuhan dan ‘merampas’ kuasa mereka untuk melantik AJP di tiga peringkat untuk mewakili suara golongan berkenaan.
Pada April lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melakukan pewartaan terhadap Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 untuk mentranformasikan kepimpinan Pertubuhan Peladang di tiga peringkat iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), PPN dan Nafas. – UTUSAN ONLINE











