KUALA LANGAT – Sebuah kilang memproses sisa plastik di Sungai Rambai, Jenjarom di sini menafikan mereka tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga mencemarkan alam sekitar.
Jurucakap syarikat Teguh Jaya Polymer Sdn. Bhd., Dzalman Zainal berkata, kesemuanya bermula apabila kilang tersebut digunakan sebagai ‘model’ bagi laporan sebuah akhbar dengan lambakan guni berisi sisa plastik.
Katanya, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas berikutan kesemua sisa plastik yang diperoleh syarikat tersebut adalah sah kerana mendapat kelulusan pihak berkuasa termasuk Jabatan Kastam menerusi kelulusan Gudang Pengilangan Berlesen (LWW).
Berita berkaitan:
“Terdapat sebahagian gambar sisa plastik itu telah disunting dengan menjadikan kilang kami yang berlesen ini sebagai model dengan dakwaan menjalankan perniagaan tanpa kelulusan AP.
“Sisa plastik itu sebenarnya telah dihimpunkan di luar pagar kilang ini oleh pengusaha kilang haram memproses sisa plastik yang jaraknya hampir dua meter sahaja daripada kilang ini,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Beliau memberitahu, Teguh Jaya yang telah beroperasi sejak enam tahun lalu juga mendapat kelulusan daripada Majlis Daerah Kuala Langat dan Jabatan Alam Sekitar.
Menurutnya, secara purata sebanyak 100 tan sisa plastik yang bersih diproses pihaknya setiap bulan yang diimport daripada negara seperti China, Australia dan Korea.
“Mungkin dari mata kasar orang menganggapnya sampah namun tidak bagi kami yang menganggapnya bahan mentah untuk proses sebelum dieksport semula kepada negara yang diimport itu.
“Akibat laporan tersebut, operasi kilang telah ditutup selama dua minggu selain diserbu pihak berkuasa dengan andaian terlibat dengan gangsterisme. Kami ingin menegaskan bahawa tidak pernah terlibat dengan isu tersebut,” katanya.
Jelas Dzalman, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah melakukan tinjauan dan pemeriksaan sehari selepas laporan akhbar tersebut disiarkan dan hasilnya mendapati syarikat ini menjalankan aktiviti mengikut SOP.
“Saya tidak menolak kemungkinan laporan ini wujud susulan kewujudan kilang memproses sisa plastik haram yang dibuka di sekitar daerah ini.
“Namun, kami kecewa kerana kilang ini telah dipergunakan sehingga enggan menerima penjelasan walaupun kami berusaha untuk menemui mereka sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Dzalman menegaskan pihaknya akan mengadakan hari terbuka kepada masyarakat pada 3 Oktober depan dalam melihat sendiri operasi kilang tersebut yang turut disertai oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Ini secara langsung dapat mengelakkan sebarang pengambilan gambar tanpa izin oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk ditularkan sehingga menganggu operasi kilang sehingga kini,” katanya. – K! ONLINE











