BERLIN 22 Sept. – Philippe Coutinho menyumbat gol pertamanya bersama Bayern Munich sejak dipinjamkan oleh Barcelona ketika kelab gergasi Jerman itu menewaskan Cologne 4-0 dalam aksi Bundesliga awal hari ini.
Biar pun jaringan yang dilakukan itu hanya menerusi sepakan penalti namun ia pastinya memberi motivasi awal kepada pemain dari Brazil itu untuk menjaringkan lebih banyak gol selepas ini.
Sepatutnya Robert Lewandowski mengambil sepakan penalti tersebut untuk melengkapkan hatriknya dalam perlawanan itu namun pemain antarabangsa Poland tersebut memberi laluan kepada Coutinho yang kemudian berjaya menyempurnakannya dengan baik.
“Ia keputusan spontan yang saya buat malah tidak pernah berbincang pun tentangnya sebelum perlawanan. Pada saya jaringan itu penting baginya untuk meningkatkan keyakinan di Bundesliga ini.
“Ini demi masa depannya juga di sini. Dia seorang pemain yang hebat dan sebagai rakan sepasukan, kami semua di kelab ini kena sama-sama saling membantu dia ,” kata Lewandowski.
Selain dua gol daripadanya dan satu gol dari Coutinho, satu lagi gol Bayern dijaringkan Ivan Perisic.
Bagaimanapun kemenangan Bayern tersebut masih belum cukup untuk menyekat RB Leipzig daripada terus mengungguli takhta selepas pendahulu liga itu terus mencatat kemenangan dengan menewaskan Werder Bremen 3-0. – AFP











