IPOH 18 Sept. – Pihak sekolah diberikan kebenaran untuk menutup sesi persekolahan serta merta jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terlibat melebihi bacaan 200 akibat jerebu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, pihak sekolah hanya perlu memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)mengenai penutupan tersebut.
Menurutnya, kebenaran itu diberikan bagi membolehkan pihak sekolah bertindak segera dan memudahkan ibu bapa serta pelajar jika jerebu mencatat bacaan paras sangat tidak sihat.
“Kalau IPU sudah sampai ke tahap lebih 200, pihak sekolah boleh terus menutup atau memberhentikan sesi persekolahan tanpa perlu menunggu kebenaran dari agensi lain.
“Ini akan membantu pihak sekolah membuat keputusan segera kerana masalah jerebu melibatkan soal keselamatan dan keselesaan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Penutup Muka Kepada Sekolah-Sekolah Daerah Kinta di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, sebanyak 90,000 unit penutup muka diedarkan untuk pelajar di sekolah-sekolah dalam Daerah Kinta Utara manakala tambahan 200,000 unit lagi akan diedarkan ke daerah-daerah lain.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, sebanyak 303 buah sekolah di negeri ini ditutup hari ini ekoran IPU yang mencatat bacaan sangat tidak sihat melebih 200 yang melibatkan 85,967 murid.
Menurutnya, sekolah yang terlibat ialah 102 di Daerah Manjung, 71 di Hilir Perak, 67 di Bagan Datuk dan 63 di Perak Tengah.
Sementara itu, Daerah Taiping mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 205 pada pukul 4 petang ini.
Mengenai keadaan di Taiping, Abdul Aziz berkata, ini menunjukkan masalah jerebu belum menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan sebaliknya bilangan sekolah yang ditutup juga akan bertambah.
“Pihak sekolah pastinya sudah tahu mengenai tahap IPU di Taiping, jadi mereka tidak perlu menunggu arahan daripada Pusat untuk sesi persekolahan ditutup,” katanya. – UTUSAN ONLINE











