Pada awal tahun lalu, lelaki berusia 32 tahun itu telah menggunakan motosikal Yamaha Y15ZR (Ysuku) yang dibeli dengan harga RM8,168.
Motosikal tersebut digunakan oleh Shahrul Ambri Samsuddin untuk berulang-alik dari rumahnya di Yan, Kedah ke tempat kerja di Bertam, Pulau Pinang.
Selepas setahun menggunakannya, dia mendapati kelajuan dan daya pecutan motosikalnya semakin menurun.
Shahrul Ambri mengesyaki beberapa komponen dalam Ysuku miliknya mengalami kerosakan dan perlu diganti dengan kadar segera bagi mengelak enjin rosak.
Situasi ini mendorong dia menguji kemampuan motosikalnya menerusi ujian dinamometer bagi mengukur kelajuan dan perbezaan karakter enjin.
Ia mengukur kuasa kuda enjin dengan mengenakan daya membrek yang berubah-ubah pada rotornya sebagai beban boleh ubah.
Ujian itu dilakukan dengan menggunakan mesin Dynotech DTM 250 (Dynotech) di salah sebuah bengkel di Alor Setar, Kedah.
Terdapat banyak jenama mesin dinamometer. Namun, Dynotech terbukti mampu memberikan bacaan lebih tepat dan konsisten.
Dalam tempoh 30 minit, bapa kepada dua cahaya itu telah mengetahui kerosakan motosikalnya menerusi sehelai kertas yang mengandungi graf kuasa kuda dan daya kilas.
Kesan masalah
“Saya menggunakan mesin Dynotech ini kerana ia dapat mengesan masalah motosikal dengan cepat. Saya tidak perlu membuka enjin untuk mengetahui kerosakan.
“Data daripada Dynotech menunjukkan set selinder motosikal saya sudah rosak dan perlu diganti,” katanya ketika ditemu bual Infiniti baru-baru ini.
Dynotech merupakan jenama dinamometer yang diimport dari Australia oleh salah satu pengedar mesin berkenaan di negara ini, MAG Technology & Trading Sdn. Bhd. (MAG).
Buat masa ini, mesin Dynotech telah digunakan oleh sembilan buah bengkel di seluruh negara.
Salah seorang mekanik MAG, Che Mohamad Hafis Che Jusoh berkata, Dynotech kian mendapat permintaan selepas pengenalan motosikal yang menggunakan teknologi pancitan bahan api.
Teknologi pancitan bahan api mula diperkenalkan sedekad lalu bagi menjimatkan penggunaan bahan api dan meningkatkan kelajuan.
Jelasnya, ia telah mendorong kepada permintaan mesin Dynotech bagi membantu memudahkan mekanik mengesan kerosakan, menguji kelajuan dan penalaan enjin.
“Mesin ini sangat penting kepada mekanik. Ramai salah faham, mesin ini bukannya untuk meningkatkan kelajuan kenderaan.
“Ia hanya berfungsi menguji kuasa kuda, daya kilas, bacaan minyak dan kelajuan menerusi dapatan data berbentuk graf,” ujarnya.
Che Mohamad Hafis yang berpengalaman lebih sedekad sebagai mekanik berkata, Dynotech juga digunakan sebagai mesin diagnosis masalah enjin kenderaan.
Ujarnya, mekanik tidak perlu lagi membuka enjin untuk mengetahui kerosakan enjin sebaliknya ia boleh diperoleh dengan menggunakan Dynotech.
Keuntungan
“Sifat enjin juga boleh diketahui melalui bentuk lengkuk graf kuasa kuda dan graf kilasan yang terhasil.
“Ini membantu mekanik mengesan masalah dengan tepat. Sebelum ini, mekanik kena buka enjin, tukar barang dan uji. Kalau salah tukar barang, mereka kena buka balik enjin,” katanya.
Penggunaan Dynotech bukan sahaja memudahkan kerja, malah ia mendatangkan keuntungan lumayan. Setiap motosikal yang menggunakan perkhidmatan mesin berkenaan dicaj antara RM150 hingga RM250.
Pemilik bersama MAG, Zamani Baharom memaklumkan, mesin Dynotech dijual pada harga RM130,000 sebuah.
Ujarnya, Dynotech dapat mengukur dengan lebih tepat, cepat dan konsisten berbanding mesin jenama lain.
“Jenama Dynotech dikeluarkan oleh syarikat Dyno Dynamics. Ia salah satu mesin dinomometer terbaik di dunia ketika ini,” jelasnya.
Zamani menambah, salah satu kelebihan mesin Dynotech adalah ia beroperasi dengan hanya satu plag elektrik.
Ulasnya, mesin berkenaan juga boleh dipindahkan ke satu-satu tempat dengan mudah tanpa perlu memanggil petugas khas.
“Dynotech sangat mudah dikendalikan. Ia juga mudah dipelajari dan sesuai digunakan sebagai dalam pembelajaran,” terangnya.











