PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka menurun secara beransur-ansur pada separuh kedua 2022, melihat kepada tekanan inflasi global dan peningkatan pengeluaran Indonesia.
MIDF Research berkata, bagaimanapun harga komoditi berkenaan akan terus kekal tinggi berlegar pada RM5,000 satu tan metrik disebabkan masalah bekalan di tengah-tengah krisis Russia-Ukraine yang menjejaskan bekalan minyak bunga matahari.
Ujarnya, penguncupan ini wajar pada masa ini kerana harga meningkat pada kadar yang terlalu pantas berbanding tahun berikutnya dan telah memuncak apabila pasaran menilai perang Russia-Ukraine dan kesan inflasi.
“Walaupun pengeluaran MSM memasuki musim kitaran puncaknya pada suku kedua dan ketiga dibantu dengan lebih banyak buruh asing dalam separuh kedua 2022, majoriti penanam mengesahkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) tahun ini akan terus perlahan, dipengaruhi oleh penggunaan baja yang lebih rendah disebabkan kekurangan buruh pada tahun sebelumnya.
“Selain itu, prospek pengeluaran minyak kacang soya juga lemah pada tahun ini dan tahun depan berikutan fenomena La-Nina pada tahun ketiga berturut-turut di Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina, ditambah pula dengan kawasan penanaman yang lebih rendah di Amerika Syarikat (AS).
“Justeru, kami mengekalkan unjuran harga MSM pada RM5,500 satu tan buat masa ini,” kata firma penyelidikan itu dalam nota kajian.
Harga MSM penghantaran tempatan bermula pada asas yang kukuh sekitar RM5,214 setiap tan pada awal Januari 2022 dan melonjak mendadak kepada RM8,077 satu tan pada Mac sebelum susut kepada RM5,105 satu tan pada Jun.
Firma penyelidikan itu berkata, terdapat beberapa faktor menyumbang kepada penurunan harga tersebut terutama keputusan Indonesia menarik balik larangan eksport dan mengurangkan cukai eksport minyak sawit yang maksimum dan levi kepada AS$488 setiap tan metrik.
“Ia menyebabkan minyak sawit Malaysia kurang menarik kerana diskaun harga.
“Pada masa sama, kita memasuki musim kitaran pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi dan kebimbangan sentimen terhadap permintaan, kerana kebimbangan terhadap inflasi semakin meningkat,” ujarnya.
Dari segi permintaan, berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), MIDF Research melihat kebanyakan negara pengimport utama minyak sawit Malaysia telah berkurangan sebanyak 7.9 peratus kepada 2.6 juta tan daripada 2.8 juta tan sebelum ini.
Ujarnya, ini diterajui oleh AS yang mengurangkan import sebanyak 60.1 peratus, diikuti Pakistan (24.7 peratus), China (10.8 peratus) dan India (6.2 peratus).
“Walaupun Eropah mengimport lebih banyak iaitu penambahan 7.9 peratus, ini disebabkan terutamanya oleh akses yang kurang terhadap minyak bunga matahari.
“Memandangkan kebimbangan kemelesetan yang semakin meningkat, kami menjangkakan angka eksport kekal mendatar disebabkan oleh tekanan inflasi di seluruh dunia,” ujarnya. – UTUSAN









