SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik di negara ini.
Baginda bertitah, perbalahan yang dilihat amat ketara kini boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan kestabilan politik.
“Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak luar mudah menguasai kita. Jika dihayati dialognya, ia bertepatan bagi menyampaikan mesej bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan Islam.
“Beta menggalakkan masyarakat terutama orang Melayu menonton filem itu sebagai teladan dan pengajaran iaitu sesebuah tamadun boleh runtuh jika kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama mempertahankannya,” titah baginda menerusi kenyataan semalam.
Titah Sultan Sharafuddin, baginda tidak berhasrat mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara.
“Namun, beta bertanggungjawab memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan selain menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik dapat segera dihentikan.
“Ia bagi menjamin kepentingan masyarakat Melayu dan dipelihara tanpa mengenepikan hak serta kepentingan masyarakat bukan Melayu,” titah Sultan Selangor.
Dalam pada itu, Sultan Selangor menegaskan, pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara bergantung kepada kepemimpinan yang stabil.
Sultan Sharafuddin turut menyedari gejala fitnah berlaku dengan berleluasa dalam kalangan masyarakat.
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencatat sejarah apabila meraih kutipan sebanyak sejuta ringgit, pada hari pertama tayangan filem tersebut.
Sekaligus, Mat Kilau memecahkan rekod sebagai filem epik pertama yang berjaya memperoleh kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tempatan.
“Izin Allah. Maka dengan ini, Mat Kilau menjadi filem epik pertama Malaysia memecahkan rekod pembukaan sebagai ‘Filem epik Melayu kutipan paling tinggi dalam sejarah’.
“Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan. Satu juta dalam masa satu hari sahaja!” tulisnya.
Sekadar informasi, filem berdasarkan fakta sejarah yang diadaptasi ke layar perak, Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam, 23 Jun 2022.- UTUSAN











