JOHOR BAHRU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor amat kesal dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menggesa kerajaan Pusat tidak melayan tuntutan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) serta menteri daripada Perikatan Nasional (PN).
Ketua Armada Johor, Muhd. Shamsuddin Paijan berkata, kehadiran seorang TPM selain menteri daripada PN seperti yang telah dijanjikan akan membantu meningkatkan lagi kecekapan kerajaan Pusat.
Ia termasuk dalam menguruskan pelbagai isu serta mendepani cabaran baharu yang muncul seperti kenaikan kos barang keperluan, kemerosotan bekalan makanan serta keselamatan, khususnya kesihatan global.
“Pelantikan jawatan TPM sangat relevan bagi meningkatkan keupayaan kerajaan Pusat dalam mentadbir urus serta membuat keputusan yang betul, tepat dan strategik berkaitan kepentingan rakyat, ekonomi mahupun negara.
“Dalam suasana negara yang turut dipengaruhi peristiwa dunia sekarang, Perdana Menteri memerlukan sokongan seorang TPM untuk mengambil alih sebahagian tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan rakyat kepada kerajaan untuk dilunaskan dengan sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan TPM.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dilaporkan berkata, pertemuan itu telah diadakan beberapa hari lalu supaya perjanjian PN dengan Perdana Menteri sebelum ini, dapat dipertimbangkan.
Semalam, Najib menerusi hantaran di Facebooknya membidas isu tersebut selain berharap kerajaan tidak melayan permintaan itu, sebaliknya memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi.
Mengulas lanjut, Muhd. Shamsuddin menegaskan, kuota jawatan dalam Kabinet yang diberi kepada PN adalah hak mutlak PN.
Sewajarnya Ismail Sabri membuat lantikan segera kerana telah dipersetujui dan tidak berbangkit apabila Presiden Bersatu menuntutnya, maka tuntutan itu dianggap sebagai desakan atau ugutan. – UTUSAN











