Berhentilah Muhyiddin tuntut jawatan, fokus tangani masalah rakyat

‘Berhentilah Muhyiddin tuntut jawatan, fokus tangani keperluan, masalah rakyat’

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Di sebalik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus bertungkus-lumus menguruskan soal kepentingan dan keperluan rakyat, tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut jawatan sangat mengecewakan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam situasi rakyat sedang tertekan ekoran isu kenaikan harga barang disifatkan sebagai tidak rasional.

Katanya, tumpuan pada masa ini sepatutnya difokuskan kepada soal pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi berbanding berebut soal jawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, tindakan Presiden Bersatu itu hanya menyebabkan rakyat semakin benci kepada kerajaan, sedangkan partinya juga adalah sebahagian daripada kerajaan ketika ini.

“Muhyiddin sepatutnya menggunakan platform sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi mencari solusi dan bersama-sama membantu kerajaan dalam menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan rakyat.

“Isu kenaikan harga barangan ketika ini adalah isu global yang berlaku di seluruh dunia. Malah kenaikan di negara lain jauh berganda dari Malaysia yang terus menyalurkan subsidi bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Di sebalik Perdana Menteri terus fokus menangani keperluan rakyat, Muhyiddin pula sibuk menuntut jawatan. Berhentilah tuntut jawatan, sekarang bukan masa sesuai untuk menuntut sebarang jawatan. Masing-masing perlu bekerjasama dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengesahkan pertemuannya dengan Ismail Sabri bagi mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kata Muhyiddin, beberapa perkara penting telah dibangkitkan dalam pertemuan itu berdasarkan kandungan perjanjian antara PN dan Perdana Menteri.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kerajaan sebagai ‘bangang’ dalam soal menangani isu peningkatan harga barang, Fathul Bari berkata, Ketua Pembangkang itu terus mencari populariti dan bermain politik.

Kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar itu, kerajaan sudah lama mewujudkan pelbagai mekanisme dalam mengatasi beban rakyat dengan menyalurkan subsidi termasuk telah menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup sebelum ini.

Ujarnya, manakala Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa adalah untuk mengatasi masalah inflasi.

“Anwar sepatutnya kaji dulu sebelum membuat sebarang tuduhan melulu tanpa sebarang fakta dan terus bermain sentimen politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×