5 sekeluarga tercampak, BMW X6 dirempuh treler - Utusan Malaysia

5 sekeluarga tercampak, BMW X6 dirempuh treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 13 Sept. – Seorang pelajar berusia 14 tahun maut setelah tercampak keluar daripada kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X6 selepas terbabit dalam nahas dengan sebuah treler di Kilometer 294.7 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sebelum Hentian Rehat dan Rawat (R & R) Kijal dekat sini pagi tadi.

Mangsa, Darwish Haykal Mohd. Rizalmi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan SUV itu iaitu Mohd. Rizalmi Md. Romali, 40, Jaslina Abdullah, 40, Harris Haydar Mohd. Rizalmi, 9, Nur Aulia Hudaibiyah Syamzulhafiz, 2, dan Darwish Haykal tercampak keluar dari kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah ini, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, bagaimanapun

Darwish Haykal meninggal dunia di lokasi manakala ibu-bapa, adik serta seorang adik angkatnya, Nur Alia Hudaibiyah cedera.

Jelas beliau, kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut manakala mayat Darwish Haykal dihantar ke Unit Forensik hospital yang sama untuk bedah siasat.

“Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika kenderaan yang dinaiki keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kenderaan BMW X6 yang dipandu Mohd. Rizalmi hilang kawalan lalu terlanggar belakang sebelah kanan sebuah treler jenis Hino milik Risda Fleet Sdn. Bhd. yang membawa muatan baja dari Pelabuhan Klang ke Dungun.

“Akibat perlanggaran itu kenderaan BMW X6 telah berpusing beberapa kali dan bergesel pada pembahagi jalan lalu terbabas di hadapan treler itu sebelum dirempuh kenderaan berat itu menyebabkan kesemua mangsa di dalam SUV terbabit tercampak keluar.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×