Ammonia: 198,000 ekor ayam dilupuskan - Utusan Malaysia

Ammonia: 198,000 ekor ayam dilupuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 5 Sept. – Kilang memproses ayam di Merlimau dekat sini yang terlibat dalam kejadian gas ammonia bocor kelmarin terpaksa melupuskan sejumlah 198,000 ekor ayam untuk tujuan keselamatan pengguna.

Keputusan itu diambil oleh pihak pengurusan kilang bagi memastikan pengguna tidak terdedah kepada bahaya kesan daripada pencemaran gas tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, walaupun tindakan itu menyebabkan jumlah bekalan ayam untuk negeri ini terjejas namun ia telah diatasi hari ini.

“Sebanyak 198,000 ekor ayam itu dipercayai terdedah dengan bahan kimia dan telah dilupuskan oleh pengurusan kilang dan ia mengakibatkan bekalan ayam di Melaka terjejas semalam.

“Bagaimanapun stok bekalan ayam kembali pulih hari ini. Kilang itu membekalkan kira-kira 200,000 ekor ayam sehari iaitu hampir separuh daripada keperluan domestik di negeri iaitu sekitar 400,000 ekor ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Restoran ‘Original Penang Kayu Nasi Kandar’ cawangan ke-12 di Hotel Hatten, Banda Hilir di sini hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, sebanyak 26 pekerja kilang tersebut dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah, sakit mata dan sesak nafas berikutan kebocoran gas ammonia di kilang pemprosesan ayam tersebut.

Sementara itu, Eksekutif Sumber Manusia kilang terbabit, Haw Kok Seong berkata, kesemua ayam yang dilupuskan telah ditanam di kawasan tanah milik kilang berkenaan.

“Kesemua 198,000 ekor ayam telah ditanam kerana ia tidak boleh dibakar sebagaimana arahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri. Ayam yang dilupuskan itu membabitkan bekalan untuk sehari.

“Kilang pemprosesan ini beroperasi seperti biasa cuma kawasan yang terjejas dengan kebocoran gas ammonia masih ditutup untuk siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×