KUANTAN 4 Sept. – Rakyat pelbagai kaum di negara ini seharusnya memainkan peranan bersama membangunkan negara dan bukannya bermusuhan antara satu sama lain.
Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, permusuhan antara kaum tidak akan menguntungkan rakyat dan negara.
“Sejak sekian lama, kita hidup dalam kehidupan bermasyarakat yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, jadi adakah perlu kita mewujudkan perbezaan antara kaum?
“PAKP melihat pelbagai isu timbul antaranya berhubung keutamaan membeli produk buatan Islam, apa dibimbangi ada pihak yang memainkan usaha ini sebagai isu perkauman dan kononnya memboikot produk bukan Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syed Mohammad Faiz berkata, mengutamakan produk Muslim bukan bermaksud memboikot produk bukan Islam tetapi usaha itu bagi membantu peniaga bumiputera.
Beliau berkata, PAKP berpendapat, rakyat pelbagai kaum di negara ini seharusnya menyokong antara satu sama lain.
“Jika kita (rakyat) sama-sama menyokong antara satu sama lain, PAKP merasakan tidak akan timbul usaha seperti mengutamakan pembelian produk Muslim, kita sudah pun 62 tahun merdeka, jadi rakyat seharusnya lebih matang dan mengelak daripada berlaku perselisihan antara kaum,” katanya. – UTUSAN ONLINE











