KUALA LUMPUR – Kempen #jomsokongutusankosmo diteruskan lagi, kali ini bersama penyokong Harimau Malaya sempena perlawanan persahabatan antarabangsa pasukan kebangsaan menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dekat sini semalam.
Kira-kira 150 penyokong bola sepak Malaysia bersama kakitangan Utusan Malaysia sama-sama memeriahkan perlawanan tersebut dengan nyanyian semangat dan membawa kain rentang sokongan terhadap pasukan kebangsaan dan #jomsokongutusankosmo.
Selain menyatakan sokongan kepada kempen #jomsokongutusankosmo, peserta turut menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti Saya Anak Malaysia sebagai simbolik bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut pada hari ini.
Ketua projek kempen tersebut, Ainol Amriz Ismail berkata, tujuan lain kempen itu dijalankan adalah bagi memberitahu orang ramai bahawa akhbar terbitan Utusan Melayu (M) berhad iaitu Kosmo! masih kekal wujud.
“Program ini adalah salah satu daripada kempen yang kami jalankan bagi mempromosikan dua akhbar terbitan Utusan Melayu di semua kawasan-kawasan tumpuan orang ramai.
“Kami akan jalankan beberapa kempen seumpama ini menjelang September nanti untuk menyedarkan rakyat Malaysia bagi terus menyokong dan membeli dua akhbar ini bagi meneruskan kelangsungan terbitannya,” katanya keada Kosmo! dekat sini, semalam.
Dalam program tersebut, penyokong Harimau Malaya juga turut menyambut ulangtahun ke-15 Kosmo! semalam dengan mengadakan majlis memotong kek dan nyanyian selamat hari jadi. – K! ONLINE











