KUALA LUMPUR: Pemberian lesen perniagaan sementara selama enam bulan oleh pihak berkuasa tidak sewajarnya disalah guna oleh peniaga.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman menyokong keputusan tersebut tetapi para peniaga perlu faham syarat yang diberikan.
Katanya, pada hari pertama pelaksanaan zon bebas niaga ini, ada peniaga yang seolah-olah mengambil kesempatan dengan menjadikan tempat letak kereta sebagai tapak perniagaan mereka.
“Hal ini dilihat di kawasan Desa Pandan, Kuala Lumpur di mna ada peniaga yang tanpa rasa bersalah menjadikan tempat letak kereta sebagai tapak niaga mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambahnya, tidak salah berniaga di tepi jalan tetapi jangan sampai menyusahkan pihak lain sedangkan masih ada tapak berniaga yang masih kosong di sekitar kawasan tersebut.
Menurut Rosli, ada juga peniaga yang hanya menempah tempat terlebih dahulu dan belum memulakan perniagaan.
“Kita kesal kerana pihak berwajib telah memberikan kebebasan untuk berniaga tetapi mereka menggunakan kelebihan tersebut dengan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Katanya lagi, mungkin pihak penguatkuasaan perlu menjalankan rondaan bagi mengelakkan tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut berlaku pada hari berikutnya.
“Bukan bermaksud mengenakan tindakan tetapi sekadar rondaan dan peringatan kepada mereka yang cuba mengambil kesempatan mengalahgunakan kemudahan yang diberikan,” katanya. – UTUSAN










