Kerajaan diugut terima cadangan keluarkan Akaun 1, lanjutkan moratorium - Utusan Malaysia

Kerajaan diugut terima cadangan keluarkan Akaun 1, lanjutkan moratorium

PROF. Madya Dr. Rusdi Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Apakah buat pertama kalinya belanjawan negara gagal diluluskan jika tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen?

Persoalan itu terus menjadi perdebatan selepas beberapa tokoh seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan dengan jelas dalam perbahasan Belanjawan 2021 baru-baru ini bahawa sokongan mereka bersyarat.

Malah, kesemua ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) sepakat tidak menyokong Belanjawan 2021 jika kerajaan tidak meminda beberapa perkara seperti dinyatakan Anwar sebelum ini.

Bagi mengelak sebarang kesulitan semasa pengundian belanjawan tersebut, kerajaan perlu meneliti cadangan atau syarat sama ada daripada pembangkang mahupun ahli Parlimen kerajaan sendiri khususnya dalam soal pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium secara automatik.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, belanjawan tersebut dilihat berdepan laluan sukar sekiranya tiada kata sepakat dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang meletak syarat tertentu untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 itu.

Justeru katanya, kerajaan perlu melihat pandangan semua pihak khususnya melibatkan dua tuntutan utama iaitu pengeluaran Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium secara automatik.

Malah, kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa UUM itu, tidak menjadi sebarang masalah dalam suasana sekarang jika belanjawan itu dipinda demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

“Idea yang baik tidak kira daripada pembangkang yang memberi manfaat kepada rakyat perlu diberikan perhatian. Lagi pun cadangan daripada sesetengah ahli Parlimen khususnya dalam soal pengeluaran KWSP dan lanjutan moratorium dilihat baik dan tidak menjadi masalah jika dilaksanakan.

“Jika pandangan-pandangan terbabit tidak diterima, saya jangka sukar untuk Belanjawan 2021 diluluskan sekali gus bakal memberi kesan lebih buruk kepada rakyat.

“Kerajaan kena ambil serius cadangan demi kepentingan rakyat ini dan dalam situasi sekarang ini bukan sesuatu yang janggal jika belanjawan tersebut dipinda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah Rusdi, soal lanjutan moratorium dan pengeluaran KWSP boleh dibawa dan diluluskan di Kabinet tanpa perlu melalui pindaan belanjawan tersebut.

“Menteri Kewangan semasa sesi penggulungan nanti boleh memaklumkan untuk membawa isu tersebut dan diluluskan di Kabinet. Saya percaya belanjawan akan mendapat sokongan jika dua perkara tersebut mendapat perhatian kerajaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×