APABILA membaca cerita rakyat dan kisah dongeng negara-negara Nusantara, kita menemui watak raksasa, gergasi dan bota. Malah, tempat bernama Bota di Perak dinamakan demikian sempena mitos gergasi berkenaan.
Bagi penggemar manga Naruto, pasti kenal watak Asura yang menjadi musuh kepada abangnya, Indra. Peminat filem pula mungkin pernah menonton Asura dalam bahasa Kanada (2001), Jepun (2012), Telugu (2015), Cina (2018) dan Korea (2016).
Kisah raksasa dalam tradisi Melayu ada sedikit persamaan dan pengaruh daripada kisah-kisah asura dalam tradisi Hindu dan Buddha dari India. Dalam kisah hikayat, epik dan purana Hindu, golongan raksasa lahir hasil perkahwinan asura dengan manusia.
Sekiranya kita rajin membaca atau mendengar cerita rakyat atau purana dari India, maka akan muncul watak daripada golongan sura dan asura. Mengikut cerita, kedua-dua golongan ini adalah adik-beradik tiri kerana bapa mereka ialah orang yang sama iaitu Maharishi Kasyapa. Golongan sura juga digelar ‘vasu’ dan kita tentu lebih mengenali watak-watak ini menerusi gelaran dewa dan dewi dalam kisah-kisah purana Hindu.
Kumpulan asura pula terdiri daripada raksasa, daitya dan danava. Tentulah golongan sura ditampilkan sebagai wira atau watak baik dalam cerita rakyat, manakala golongan asura digambarkan sebagai watak jahat yang sentiasa menimbulkan masalah. Saya berpeluang mengumpul banyak maklumat menarik mengenai kedua-dua kumpulan ini semasa membuat kajian bagi projek buku Khanda Puranam.
Agak menarik juga kerana watak asura turut ditemui dengan sedikit variasi dalam kisah-kisah dongeng berkaitan ajaran Buddha. Malah, semacam ada banyak persamaan dengan kisah dalam tradisi Hindu. Hal ini tidaklah menghairankan kerana kedua-dua ajaran ini bermula di India.
Ada beberapa watak asura yang terkenal dan selalu diceritakan kepada anak-anak. Tentu sahaja asura ditampilkan sebagai watak jahat, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Maka, watak sura (dewa) akan muncul untuk menghapuskan asura yang kejam lalu membebaskan manusia daripada penderitaan.
Salah satu watak seumpama itu ialah Narakasura yang membawa makna ‘asura dari neraka.’ Nama ini tidaklah menghairankan kerana golongan asura dalam tradisi purana Hindu tinggal di naraka (neraka) manakala manusia tinggal di bhuloka (bumi) dan sura menghuni swarga (syurga). Watak Narakasura ditemui dalam epik Mahabharata, Brahma Purana dan Vishnu Purana.
Raksasa ataupun asura itu dikatakan menjajah seluruh dunia dan mahu pula menakluk kayangan. Maka, Dewa Krishna dengan bantuan isterinya, Satyabhama berjaya membunuh Narakasura. Kaum India di Malaysia tahu cerita ini kerana dikaitkan dengan sambutan Deepavali.
Satu lagi watak asura yang terkenal dalam kalangan orang Hindu ialah Mahisasura. Dia dikatakan sentiasa memerangi golongan sura di kayangan. Akhirnya, Mahisasura dibunuh oleh Dewi Durga. Peristiwa ini diraikan orang Hindu menerusi sambutan Vijayadasami sempena Navaratri pada setiap tahun.
MENGGANAS
Sekiranya diteliti, kita akan menemui kisah yang hampir sama melibatkan pelbagai watak asura dalam pelbagai era. Mereka digambarkan sebagai raksasa yang bengis, jahat dan zalim.
Mereka biasanya melakukan pertapaan dan menerima anugerah khas daripada Dewa Brahma, Vishnu atau Shiva. Kemudian, watak asura ini mula mengganas dan mahu menakluk kayangan.
Dalam Shiva Purana, golongan asura dikatakan asalnya baik tetapi kemudian bertukar menjadi musuh kepada sura. Suatu insiden penting yang membawa kepada permusuhan ini dihuraikan dalam buku Khanda Puranam yang diceritakan semula dalam bahasa kebangsaan dan dijadualkan terbit pada September nanti.
Menerusi buku Bhagavad Gita (2021), saya menghuraikan secara mudah apa yang dikatakan deva prakriti iaitu sifat-sifat mulia yang perlu dimiliki manusia. Asura sampadam yang diperincikan dalam bab 16 buku itu pula menyentuh ciri-ciri negatif yang memberi kesan buruk kepada manusia. Antara ciri negatif ialah sikap hipokrit, angkuh, sombong, marah dan kasar.
Jika kita mendalami mesej yang cuba disampaikan menerusi hikayat, epik dan purana Hindu, kita akan sedar bahawa watak asura sebenarnya mewakili sifat negatif yang terdapat dalam diri manusia. Malah, ramai peneliti bersetuju watak Ravana dalam epik Ramayana merujuk kepada perlunya kita memiliki deva prakriti (sifat positif) untuk menghapuskan asura sampadam (sifat negatif) dalam diri. Perang Rama-Ravana bukan di luar tetapi dalam diri kita sendiri.
Walaupun secara umum kita diberitahu sejak kecil bahawa watak asura sangat jahat dan zalim, ada cerita yang mengangkat golongan asura sebagai pemerintah disayangi rakyat. Buku Asura: Tale of the Vanquished, The Story of Ravana and His People (2012) karya Anand Neelakantan memberi pembaca peluang menilai semula epik Ramayana dari sudut pengalaman Ravana yang selama ini dilabel zalim.
Satu lagi contoh adalah dalam tradisi kaum India berketurunan Malayali. Terdapat mitos tentang Mahabali yang memerintah Kerala dengan adil dan disayangi rakyat. Akan tetapi, oleh kerana Mahabali terlalu berkuasa, Dewa Vishnu muncul dalam rupa Vamana (lelaki kerdil) dan membunuhnya.
Masyarakat Malayali amat sedih kerana kehilangan seorang raja yang adil, pemurah dan berkaliber. Maka, Onam disambut setiap tahun kerana Mahabali dipercayai datang menziarah rakyat yang disayanginya.
Buku Khanda Puranam yang sedang saya usahakan turut menampilkan watak asura yang berperanan menggerakkan cerita. Dua watak penting ialah Tarakasura dan Surapadman.
Sebagaimana dalam pelbagai cerita rakyat, mereka berdua mendapat anugerah daripada Shiva dan Brahma. Kemudian, mereka dikatakan menjadi angkuh dan mula memerangi golongan sura.
Namun begitu, apabila saya membaca, mendengar, meneliti, mengkaji dan menghayati purana itu dalam pelbagai versi dan bahasa, saya mendapati ada kisah silam yang membuatkan Tarakasura bertindak demikian. Sebagaimana kita melakukan penilaian semula terhadap watak Hang Tuah dan Hang Jebat, begitulah juga halnya dengan watak sura dan asura dalam buku terbaharu saya. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











