PETALING JAYA: Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menubuhkan Pusat Tenaga Nasional (National Energy Centre-NEC), sebuah pusat kecemerlangan nasional bertaraf antarabangsa bagi mendalami aspek Peralihan Tenaga, merangkumi isu perubahan iklim, pembangunan lestari dan sumber tenaga boleh baharu (TBB) di peringkat negara dan global.
Universiti milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menempatkan lima pusat kecemerlangan tenaganya di bawah NEC, bagi melaksanakan pelbagai penyelidikan dan projek berkaitan tenaga.
Ia dijalankan dengan kerjasama pakar dari universiti tersohor tempatan dan luar negara serta para peneraju industri, dengan aspirasi menjadikan Malaysia Hab Tenaga Serantau.
Pelancaran awal NEC di UNITEN Putrajaya, disempurnakan bersama oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Ali Biju dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Mereka mewakili menteri masing-masing, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Majlis turut dihadiri Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk. Ir. Baharin Din dan Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.
Takiyuddin dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ali berkata, penubuhan NEC di UNITEN adalah usaha proaktif institusi pengajian tinggi untuk menyumbang kepakaran dalam agenda pembangunan negara termasuk dalam usaha peningkatan kapasiti TBB dan menangani pelepasan karbon.
“Penubuhan NEC juga cukup signifikan kerana ia mengemblengkan usaha pelbagai pemegang taruh untuk sama-sama mendalami serta mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan tenaga yang sedang dihadapi seluruh dunia.
“Saya yakin sekiranya NEC ini ditadbir uruskan dengan baik, ia berupaya menghasilkan penyelesaian terhadap isu nasional dan sejagat berkaitan tenaga yang sedang membelenggu kita,” katanya.
Sementara itu, Adham dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ahmad Amzad mencadangkan NEC supaya bekerjasama dalam penyelidikan di peringkat peralihan tenaga serantau, khususnya ASEAN, China dan negara-negara Eropah serta organisasi antarabangsa.
“NEC juga boleh mewujudkan forum peringkat tinggi di antara para akademia tersohor, pakar industri dan pegawai tinggi kerajaan dengan ahli-ahli negara ASEAN dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bagi membincangkan secara mendalam isu-isu kritikal dalam bidang tenaga,” katanya. – UTUSAN










