PETALING JAYA: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, parti itu tidak mendepani sebarang krisis seperti mana yang dilaporkan.
Beliau berkata, UMNO tidak akan berpecah disebabkan pelbagai dakwaan yang didakwa bekas Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Tajuddin Rahman.
Sebaliknya, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus berperanan memimpin Kabinet, manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memimpin parti.
“Presiden UMNO ulangi dalam Mesyuarat MT pada 24 Jun bahawa calon Perdana Menteri atau poster boy untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah DSIS (Ismail Sabri).
“Tiada krisis seperti yang dihebohkan. Perdana Menteri jaga kerajaan dan DS Ahmad Zahid jaga parti. UMNO tidak akan berpecah sebab isu DS Tajuddin. Biarlah beliau tumpu sebagai Duta Besar,” katanya dalam satu hantaran di Twitter, hari ini.
Kelmarin, Tajuddin mendedahkan beberapa perkara dalaman parti, antaranya pengakuan dirinya sendiri menandatangani Akuan Bersumpah (SD) kerjasama dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, dikatakan terdapat pertemuan antara pimpinan UMNO di kediamannya pada Mei 2020 untuk meminta supaya Ahmad Zahid turut daripada jawatan Presiden. – UTUSAN











