KANGAR: PKR negeri sasar bertanding minimum lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Perlis.
Timbalan Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad berkata, jumlah kerusi tersebut dijangka bertambah selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan lagi rakan komponen di dalam Pakatan Harapan (PH).
Kata Ahli Parlimen Kangar itu, PKR yang bakal mengetuai pertembungan dalam PRU15 nanti juga optimis PH mampu menawan Perlis meskipun menyedari negeri ini adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN).
“Selain mengekalkan empat kerusi sedia ada yang dimenangi dalam PRU14, kita yakin dapat menambah lebih lagi kerusi dalam PRU15 atau sekali lagi mencipta sejarah dengan menawan Perlis.
“Kita akui cabaran berdepan BN di Perlis yang merupakan kubu kuat mereka namun tidak mustahil PKR mampu memberi kejutan sebagaimana PRU14 sebelum ini,” katanya selepas menyerahkan plak penghargaan kepada Athachai Saiprawat yang mengharumkan nama Perlis dan negara setelah berjaya membawa pulang pingat gangsa Sukan SEA Vietnam di Kelab Muay Thai Saiprawat di Kampung Teluk Epa, di sini hari ini.
Menang
Dalam PRU14, PKR yang bertanding enam kerusi mencipta sensasi apabila berjaya menang empat daripadanya iaitu di Parlimen Kangar dan tiga DUN di dalam kawasan berkenaan iaitu Kuala Perlis, Sena selain terus mengekalkan Indera Kayangan.
Sementara itu, Amin berkata, PKR negeri bakal mengetengahkan calon-calon berkaliber yang boleh diterima rakyat dalam PRU15.
“Calon-calon yang bakal diketengahkan itu pastinya mempunyai pengalaman selain kita juga akan memberi peluang kepada calon bawah umur 40 tahun dalam menarik sokongan pengundi muda dan atas 18 tahun yang sudah boleh mengundi dalam pilihan raya nanti.
“Selain itu, kita juga mungkin mengetengahkan satu atau dua calon wanita di Perlis,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi PKR negeri, Asrul Nizan Abdul Jalil berkata, PKR dan PH akan membawa Perlis ke arah lebih baik daripada semua aspek jika diberi mandat mentadbir kerajaan negeri dalam PRU15.
“Kita tidak tunggu gendang pilihan raya sebaliknya perkhidmatan berterusan kepada rakyat telah dilakukan sejak dahulu lagi. Insyallah, rakyat akan terus memberi peluang kepada kita,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena itu.- UTUSAN










