Nelayan perlu tegas, usah tunduk tekanan peraih

Nelayan perlu tegas, usah tunduk tekanan peraih

PENAT lelah nelayan keluar menangkap ikan mesti berbaloi dengan harga belian oleh peraih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Golongan nelayan perlu bersikap tegas dan tidak tunduk kepada tekanan daripada pemborong dalam penetapan harga jualan ikan segar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan Ismail Awang Mat, 50, berkata, urusan jual beli ikan hanya berlaku apabila nelayan mencapai kata sepakat berkaitan harga jualan dengan pemborong.

“Kita guna keadah tawar-menawar sehingga bersetuju dengan harga tertentu…barulah ikan itu akan dijual kepada mereka (pemborong).

“Sebahagian pemborong banyak membantu kami (nelayan) dengan menyalurkan pinjaman wang untuk membeli pukat dan sebagainya untuk turun ke laut. Ia menjadi ‘ikatan’ perjanjian antara nelayan pesisir pantai untuk tidak menjual hasil tangkapan mereka kepada pihak lain,” ketika ditemui di pesisir terusan Tok Bali di sini semalam.

PENINDASAN

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok, Saripudin Ishak turut menafikan wujud penindasan orang tengah dalam proses jual beli ikan di negeri ini.

Katanya, hal ini kerana tradisi tawar-menawar sudah menjadi amalan antara golongan nelayan dan pemborong yang membeli ikan dalam kuantiti banyak.

“Sukar untuk menyatakan harga borong di jeti pendaratan ikan kerana ia sentiasa berubah.

“Sebagai contoh, di musim bulan purnama harga pada waktu pagi, tengah hari dan petang berbeza-beza. Bagaimanapun semua itu bergantung kepada persetujuan antara nelayan, pemilik bot dan pemborong utama,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat Perikanan Gelombang Utama Sdn. Bhd. di Tok Bali, Fauzi Abdul Rahman berkata, harga ikan selar kuning dijual pada harga borong RM5 namun di Pasar Wakaf Che Yeh harga ikan tersebut dijual lebih mahal.

Katanya, bagaimanapun harga runcit ikan selar kuning sudah mencecah RM10 hingga RM12 sekilogram di Pasar Siti Khadijah.

“Begitu juga dengan ikan tongkol yang dijual harga borong (satu hingga tiga tan pembelian) pada harga bawah RM10 sekilogram meningkat kepada RM17 sekilogram di pasar.

“Semuanya disebabkan oleh kos pengurusan yang semakin tinggi berbanding sebelumnya,” katanya.

Fauzi mendedahkan, keku­rangan bekalan ikan ketika ini disebabkan banyak bot laut dalam C2 yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di lokasi 30 batu nautika.

KOS

Katanya, ramai pengusaha bot laut dalam tidak berupaya menanggung kos bahan api tanpa subsidi yang tinggi selain terpaksa membiayai kos keperluan awak-awak.

“Harga ikan yang didaratkan di pengkalan terpaksa dijual dengan harga yang sama sebagaimana bot Zon A, Zon B dan C yang mendapat pembiayaan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter berbanding Bot C2 menanggung kos lebih RM4 untuk seliter diesel,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Nelayan Unit Bagan Ajam, Pulau Pinang, Mazlan Abdul meminta kerajaan menyediakan kemudahan pasar untuk nelayan memasarkan terus hasil tangkapan mereka.

‘’Nelayan di kawasan lain seperti di Penaga dan Kuala Muda dapat pasarkan hasil laut terus kepada unit dan ada yang jual terus kepada pelanggan kerana mereka mempunyai kemudahan pasar.

‘’Jika dapat pasarkan sendiri memang nelayan akan dapat lebih untung, namun setakat ini nelayan di Bagan Ajam masih perlu gunakan orang tengah kerana tiada fasiliti untuk kami pasarkan hasil terus,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×