Kem PWTC mahu dominasi dasar kerajaan?

Kem PWTC mahu dominasi dasar kerajaan?

UMNO kini dikatakan berpecah kepada dua kem yang mempunyai perbezaan dari segi kepentingan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu pasukan dinamakan UMNO Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dipercayai sedang mengatur strategi mahu mendominasi dasar kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber dalaman parti itu mendakwa, perkara itu antara strategi bagi melemahkan kepemimpinan satu pasukan lagi yang dinamakan UMNO Putrajaya.

Dakwanya, ini kerana hala tujunya adalah jelas untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan memanggil Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Modus operandi (strategi) itu mestilah menggambarkan atau memberi isyarat bahawa parti mendominasi keputusan dasar kerajaan atau parti mendominasi dasar kerajaan.

“Tetapi benda ini bukan mahu katakan benda yang berstruktur, cuma lebih kepada signal eventually yang akhirnya semua orang (UMNO Putrajaya) kena patah balik kepada parti.

“Ini kerana apabila kedua-dua kem ada perbezaan dari segi kepentingan yang mana satu kem itu kalau boleh nak hold kuasa lebih lama sampai habis penggal, manakala satu lagi mahu tekan untuk diadakan segera pilihan raya umum sebab itu end game dia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Dalam pada itu, sumber bagaimanapun enggan mendedahkan strategi yang didakwa digunakan untuk mendominasi dasar kerajaan kecuali mendesak PRU15 diadakan dengan kadar segera selain memecat seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) yang bertaraf duta.

Namun, katanya, semua pihak boleh menilai apabila sudah ada kem UMNO Putrajaya yang kembali membuat pusingan U dengan menyokong kem PWTC semula.

“Contoh seperti seorang timbalan menteri yang sebelum ini very pro Perikatan Nasional (PN) sudah mula nampak hujung-hujung ini sebab dia tahu pintu ‘taubat’ masih terbuka.

“Jadi sebelum pintu ‘taubat’ itu tertutup, baik dia kembali ke pangkal jalan sesegera yang mungkin. Bila pintu ‘taubat’ sudah tertutup, maknanya tak ada peluang terutama dicalonkan nama dalam watikah nanti,” katanya.

Tambah sumber, desakan menyegerakan pilihan raya umum itu juga bagi membolehkan negara mempunyai satu barisan kepemimpinan yang mantap dalam berdepan cabaran global hari ini.

Namun, katanya, apa yang menjadi kebimbangan Ismail Sabri adalah perkara yang berlaku di Johor berhubung pelantikan menteri besar mungkin berlaku kepadanya walaupun sudah dinamakan sebagai calon tunggal Perdana Menteri bagi UMNO.

Sementara itu, bekas Ahli MT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pengguguran mana-mana individu daripada sebarang jawatan dalam parti itu tidak menimbulkan soal melemahkan mana-mana pihak.

Katanya, ini kerana semua pihak perlu faham jawatan terutama MT UMNO terbahagi kepada dua iaitu dipilih dan dilantik.

“Amalan biasa Presiden UMNO akan lantik ahli MT bersama Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan yang boleh mengukuhkan kedudukan dia membantu mengutarakan polisinya, jadi kena faham apabila seseorang itu dilantik kena ikut ketua.

“Contoh kalau Presiden mahu pilihan raya umum segera, tetapi orang dilantik mahu supaya ia ditunda atau dilengahkan tahun depan, jadi ia sudah menentang keputusan yang bukan sahaja dibuat Presiden, tetapi juga Perhimpunan Agung UMNO dan mesyuarat MT.

“Maka, apabila sudah terang-terang dia sendiri menjadi kumpulan yang menentang apa yang cuba dilakukan oleh Presiden, jadi Presiden boleh lantik orang lain,” jelasnya.

Bagi Ahli MT UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) pula, beliau mengharapkan pimpinan dan ahli serta penyokong UMNO di semua peringkat untuk merujuk kepada sumber rasmi parti berkaitan apa juga isu atau perkara yang timbul.

Jelasnya, tindakan itu penting supaya tiada kekeliruan yang berlaku ketika pelbagai pihak cuba menimbulkan pelbagai persepsi tidak baik kepada UMNO dan BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×