DARIPADA sebanyak 21,090,980 jumlah pengundi yang dilaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat April lalu, seramai 3,391,236 daripadanya adalah ahli UMNO yang mewakili 22,274 cawangan dan 191 bahagian di seluruh negara.
Jumlah keahlian itu adalah rekod yang dibentangkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dengan membabitkan tiga sayap yang selama ini menjadi tulang belakang UMNO iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah gelanggang hidup mati Barisan Nasional (PN) khususnya UMNO yang berkeyakinan untuk kembali setelah tewas pada PRU14 di tangan Pakatan Harapan (PH).
Dengan kemenangan dua daripada empat PRN dan siri PRK sebelum ini, ia menguatkan lagi hasrat UMNO menjadi kerajaan semula.
Dalam situasi tersebut, terdapat cakap-cakap tidak enak didengar dalam kalangan parti itu adalah kepimpinan Wanita tidak segarang dulu di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Malah keadaan itu juga dilihat membuka ruang kepada seorang dua bekas pemimpin untuk kembali mengetuai sayap parti tersebut.
Wanita UMNO memerlukan pemimpin yang mendapat sokongan padu daripada ahlinya kerana gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) yang dipelopori Wanita amat diperlukan oleh parti. JR Wanita turut dipuji oleh
Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai faktor yang memenangkan BN dalam PRN dan PRK.
Melihat kepada prestasi Ketua Wanita UMNO kini, Datuk Seri Noraini Ahmad sejak 2018, tiada perkembangan menunjukkan ‘wow factor’ berbanding zaman kepemimpinan sebelumnya.
Kelemahan Noraini jelas apabila jarang menonjol dalam isu-isu semasa dan berkepentingan rakyat, apatah lagi yang mempertahankan kepimpinan parti.
Kenyataan media daripada pemimpin parti berhubung isu semasa penting kerana selain berperanan menyampaikan maklumat, ia juga menguji keupayaan pemimpin dalam memberi penjelasan dan menangani isu berkenaan.
Ia berbeza dengan beberapa bekas pemimpin wanita UMNO sebelum ini seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Tan Sri Zaharah Sulaiman yang dilihat lebih terbuka ketika memimpin Wanita UMNO. Bahkan, mereka lantang bersuara dalam memberi pandangan dan komen tentang isu-isu semasa.
Kelantangan Rafidah khususnya sekali gus memberi imej berbeza terhadap wanita UMNO dengan parti itu lebih digeruni dan mempunyai aura tersendiri. Malah sehingga kini, beliau masih memberi pandangan mengenai kepimpinan politik negara hari ini. – UTUSAN










