KUALA LUMPUR: Pas perlu ‘cermin’ keikhlasan diri sendiri sebelum menuding jari pada UMNO terhadap kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang semakin kelam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana UMNO telah banyak kali menerima akibat daripada muslihat politik Pas.
“Saya tidak pertikai keikhlasan Mursyidul Am Pas (Datuk Hashim Jasin), tetapi soal keras atau sebaliknya bukan soal UMNO, tapi UMNO telah beberapa kali menerima akibat daripada muslihat politik Pas.
“Jika ada usaha ke arah melihat semula sama ada penyatuan ummah, Pas kena tanya diri sendiri dulu sama ada keikhlasan memihak kepada mereka atau memihak kepada UMNO,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Hashim yang menegaskan, parti Islam itu tidak pernah berputus asa untuk mempertahankan MN yang kini seolah-olah ‘retak menanti belah’.
Bagaimanapun jelasnya, jikaa UMNO masih berkeras untuk bergerak solo menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), parti itu dan Perikatan Nasional (PN) tidak ada pilihan selain terpaksa bertembung sesama sendiri.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ahmad Zahid berkata, kesalahan tersebut tidak seharusnya diletakkan pada UMNO kerana jalan buntu itu diwujudkan oleh Pas sendiri.
“Jika titik perbezaan sering dicari, pasti tidak akan bertemu titik yang murni dan mesti dielakkan kenyataan umum kelihatan seperti menggamit semula penyatuan ummah.
“Namun, di belakang secara dalaman penuh dengan muslihat politik,” jelasnya.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan Pas yang tidak menepati janji dan konsisten menjadi punca kerjasama dengan UMNO dalam MN tergelincir selepas parti itu masih tetap memilih menyertai PN.
Bahkan beliau mendedahkan Pas menolak untuk menjalin kerjasama dengan UMNO ketika Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu setelah disyaratkan menggunakan lambang sendiri, bukannya PN.
Namun katanya, UMNO pula dipersalahkan sehingga dianggap mengkhianati MN atas tindak tanduk yang dilakukan Pas. – UTUSAN










