PRU15 perlu sedikit masa lagi - Azmin - Utusan Malaysia

PRU15 perlu sedikit masa lagi – Azmin

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memerlukan sedikit masa lagi untuk diadakan kerana negara berada di landasan yang betul memulih dan mencerdaskan ekonomi termasuk di peringkat negeri-negeri.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia juga sejajar dengan aspirasi dan permintaan rakyat kerana negara baru sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.

“Kita lihat prestasi ekonomi kita semakin baik dan sudah tentu kita memerlukan sedikit lagi masa supaya program pemulihan ini dapat berjalan dengan baik dan lancar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bukan masanya untuk mengadakan pilihan raya semata-mata kerana nafsu serakah satu dua kerat pemimpin UMNO yang mempunyai kepentingan peribadi mereka.

“Maka kita harus meletakkan kepentingan ekonomi negara dan kepentingan rakyat dalam memastikan Malaysia terus memacu satu pertumbuhan yang lestari untuk masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah di sini.

Mohamed Azmin berkata, dalam konteks pelaburan sudah pasti sesebuah syarikat mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil, bersih dan berintegriti selain ekosistem perniagaan yang kondusif untuk mereka membuat pelaburan di Malaysia.

“Sebab itu saya berpandangan ini bukan masanya untuk mengadakan PRU15, tumpuan kita adalah untuk melindungi kesihatan rakyat kerana Covid-19 masih ada walaupun dalam keadaan terkawal,” katanya.

Kata beliau, perkembangan ekonomi negara dijangka terus bertambah baik pada penghujung tahun ini setelah mencatatkan lima peratus peningkatan pada suku pertama 2022.

Bagaimanapun kata beliau, perbincangan ke arah PRU15 di peringkat PN tetap diadakan, namun bukanlah secara terperinci kerana ia bukan keutamaan mereka ketika ini.

“Pada minggu hadapan, ada satu pertemuan penting peringkat PN yang juga akan diwakili oleh kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PN untuk membincangkan tentang gerak kerja.

“Malam ini pun satu pertemuan secara umum (bersama Menteri Besar Kedah) untuk membuktikan bahawa kerjasama di negeri ini adalah satu model kerjasama yang terbaik yang perlu dicontohi oleh negeri-negeri lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×