SHAH ALAM: Bebas atau bersalah dan perlu membela diri? Itu keputusan bakal dibacakan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini esok ke atas Samirah Muzzafar dan dua remaja yang kini berusia 16 dan 19 tahun.
Samirah, 47, adalah balu kepada Allahyarham Nazrin Hassan yang ditemui meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi hari berikutnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan serta memanggil seramai 57 saksi dalam prosiding yang berlangsung 94 hari sehingga 22 April lalu.
Turut berhadapan tuduhan sama ialah pembantu rumah Indonesia, Eka Wahyu Lestari, namun wanita masih bebas.
Dua remaja lelaki semasa kejadian berumur 13 dan 16 tahun. Nazrin semasa kejadian ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd.
Mengikut kronologi, Samirah yang ketika kejadian berusia 45 tahun ditahan pada pukul 6.45 pag 4 Mac 2019 sebelum Jabatan Peguam Negara mengeluarkan arahan pertuduhan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Tiga individu itu kemudian dituduh di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Kubur Nazrin
Pertuduhan tersebut dibuat selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober 2018 membenarkan permohonan polis menggali semula kubur Nazrin untuk melakukan bedah siasat kali kedua bagi membantu siasatan terhadap kematiannya.
Pada 12 Mac 2019, Samirah bersama dua remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh Nazrin.
Bekas eksekutif kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu tidak dibenar diikat jamin.
Namun, dua remaja berkenaan dibebaskan pada 27 Mac dengan jaminan RM50,000 bersama dua penjamin berbeza bagi setiap tertuduh.
Samirah yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan, S. Suresh dan Tania Scivetti dibenarkan diikat jamin RM500,000 oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 Mei 2019.
Dalam prosiding bermula 11 April 2019, 57 saksi-saksi dipanggil memberi keterangan termasuk dalam kalangan ahli keluarga Nazrin.
Pelbagai keterangan dikemukakan dan cuba dikaitkan dengan kematian Nazrin antaranya kewujudan bunga api yang dibangkitkan saksi, Pegawai Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Abdul Halim Zulkefeli.
Namun pada awal siasatan, media melaporkan kebakaran di bilik tidur Nazrin disebabkan letupan telefon bimbit sama ada jenis Blackberry atau Huawei yang sedang dicas berhampiran katil mangsa disyaki menjadi punca kematiannya.
Bagaimanapun, siasatan seterusnya polis pada 3 Ogos 2018 mengklasifikasikan kematian Nazrin sebagai kes bunuh. Ia berdasarkan laporan bomba serta laporan bedah siasat ke atas jenazah Nazrin.
Pada 22 Mac 2021, Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Siew Sheue Feng ketika memberi keterangan memaklumkan Nazrin meninggal dunia sebelum kebakaran di bilik tidurnya.
Kecederaan jelaga
Beliau berkata, tiada kecederaan jelaga dan keadaan seperti itu menunjukkan mangsa tidak menyedut udara panas.
Dr. Siew, yang berpengalaman menjalankan lebih 2,000 bedah siasat, juga menyenaraikan 16 tanda kecederaan yang terdapat pada badan Nazrin.
Kecederaan itu ialah luka menembus berukuran 5 x 4 sentimeter (cm) di bahagian parietal kiri, luka menembus berukuran 2 x 1 cm di sebelah kanan dahi dan luka menembus berukuran 2 x 1.5 cm di bahagian atas depan leher.
Pada 24 Disember 2019, Dr. Abdul Aziz iaitu abang kepada Nazrin memberitahu mahkamah, beliau memutuskan perhubungan dengan Samirah sejurus kes kematian adiknya diklasifikasikan sebagai bunuh.
Hakim kemudian menutup hujahan peringkat pendakwaan selepas prosiding itu bermula pada 7 hingga 22 April dan sebelum itu menetapkan 30 Mei lalu untuk keputusan kes.
Namun pada 20 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan tarikh membaca keputusan kes Nazrin ditunda dan akan diberikan esok.- UTUSAN










