KOTA BHARU : Pas tidak pernah meletakan kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) berada di ‘surah’ terakhir sebagaimana didakwa oleh pucuk tertinggi parti berkenaan.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini, pihaknya masih lagi istiqamah dengan kerjasama tersebut.
Menurutnya, kerjasama politik antara parti-parti besar Melayu amat diperlukan untuk kestabilan negara pada masa hadapan.
“Semua itu terpulang kepada UMNO sama ada mahu tutup buku atau sebaliknya berkait dengan kerjasama MN.
“Pas belum tutup buku (kerjasama), sebab itulah masa UMNO putuskan hubungan dengan Pas di Kelantan kita tidak memberikan sebarang komen,” katanya ketika ditemui pemberita.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, tindakan parti Islam itu yang tidak menepati janji dan konsisten menjadi punca kerjasama dengan UMNO menerusi MN tergelincir selepas parti itu masih tetap memilih menyertai Perikatan Nasional (PN).
Bahkan, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan Pas menolak untuk menjalin kerjasama dengan UMNO ketika Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu setelah disyaratkan menggunakan lambang sendiri. –UTUSAN ONLINE











