‘Save Kelantan untuk naikkan nama Husam yang sudah lama tenggelam’

‘Save Kelantan untuk naikkan nama Husam yang sudah lama tenggelam’

MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri  Kelantan mendakwa pendedahan berkait isu pembalakan, air dan lain-lain di negeri ini oleh Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa bertujuan menaikkan semula namanya yang sudah lama tenggelam dalam arena politik negara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, semua data dan maklumat yang dikeluarkan oleh bekas Exco kerajaan negeri itu bersifat manipulasi dengan tujuan mengelirukan rakyat untuk agenda politik.

Katanya, kewujudan pertubuhan itu sebenarnya bertujuan menyelamatkan kerier politik Husam kerana ia datang secara tiba-tiba menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia (Husam) buat macam ini sebab nak bagi tahu masih wujud lagi. Mungkin selepas ini mana-mana parti boleh tawarkan dia bertanding di mana-mana kawasan. Agenda dia bukan untuk menyelamatkan Kelantan.

“Untuk makluman, pembalakan di Kelantan sudah berlaku sejak dulu lagi, sebelum kita (Pas) perintah negeri ia sudah berjalan. Masa Barisan Nasional (BN) perintah tebang balak juga, zaman Tok Guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun sama termasuk ketika Husam jadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri. Jadi, nak bangkit buat apa isu ini,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd. Amar berkata, pembalakan adalah salah satu hasil utama satu masa dahulu sebelum kerajaan negeri pelbagaikannya sekali gus meletakkan aktiviti itu tidak lagi menjadi penyumbang utama kepada pendapatan ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, segala pembalakan yang berlaku di negeri ini mempunyai lesen dan mengikut Catuan Tebangan Tahunan (CTT) serta Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

HUSAM MUSA

Katanya, dakwaan Husam berkait dengan dua Exco Kelantan terlibat dalam isu pembalakan di Nenggiri tidak benar sama sekali kerana Daulah Najah adalah syarikat milik kerajaan (GLC) Kelantan.

“Untuk makluman setiap GLC perlu disertai oleh dua Exco sebagai wakil kepada kerajaan negeri. Kerajaan negeri beri konsesi balak kepada Daulah Najah untuk membayar balik hutang-hutang kepada kontraktor yang telah memulakan kerja-kerja pembinaan lebuh raya rakyat yang dilancarkan semasa Husam menjadi Exco.

“Cara Husam tulis ini (Daulah Najah) adalah syarikat milik individu tidak betul. Husam manipulasi fakta yang ada, jadi orang awam melihat perkara itu beranggapan Exco kerajaan negeri terlibat dalam perniagaan,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Husam berkata, Save Kelantan adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dipengerusikan beliau sendiri untuk membuat teguran berkait dengan apa sahaja polisi kerajaan negeri menerusi mekanisme semak dan imbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×