BATU PAHAT: Di sebalik desakan pemimpin UMNO yang mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Parit Sulong menolak kerjasama parti itu dengan DAP.
Ketua Bersatu bahagian itu, Datuk Ariss Samsudin berkata, mereka akur apa jua keputusan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu mengenai PRU15 khususnya pembentukan ‘khemah besar’ bagi menewaskan (Barisan Nasional) BN.
“Tetapi, apa jua keputusan muktamadnya, Bersatu Parit Sulong berharap tidak akan diulangi lagi keputusan untuk bekerjasama dengan DAP.
“Kami serik bekerjasama dengan DAP dalam PRU14. Semoga kerjasama seperti ini tidak akan berlaku lagi dalam PRU15 kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 20 Mei lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan gabungan itu masih belum mengadakan perbincangan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) untuk bergabung dalam PRU15.
Namun, beliau berkata, inisiatif berbincang cara mengelak pertembungan bagi menentang BN sudah diambil pihak tertentu selaras usaha satu lawan satu yang diumumkan Muhyiddin sebelum ini.
Tambah Ariss, Bersatu Parit Sulong juga berharap Pas selaku komponen PN akan terus bersama dalam PRU15 kerana kedua-dua parti itu perlu terus setia antara satu sama lain.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bersatu bukan berjuang untuk menipu rakyat sebaliknya menegakkan hak untuk rakyat peribumi, Melayu dan Islam, serta seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Hakikatnya, perjuangan Bersatu adalah penuh integriti dan berhemah tinggi. Kita akan terus berjuang untuk menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia demi rakyat dan negara.
“Hakikat perjuangan ini sama dengan matlamat perjuangan PN. Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kerajaan campuran BN dan PN. Jangan sekali-kali kelirukan rakyat mengenai hakikat ini,” katanya.
Justeru, Ariss mendesak Perdana Menteri supaya memenuhi janjinya kepada kepimpinan PN dan Bersatu bahawa tarikh PRU15 akan dirundingkan dengan mereka dan bukan mengikut desakan pihak-pihak tertentu dalam BN dan UMNO.
“Jangan heret rakyat bagaikan lembu cucuk hidung. Jangan gunakan alasan rakyat akar umbi untuk menyelamatkan tengkuk individu tertentu dalam UMNO dan BN,” tegasnya. – UTUSAN











