WILMINGTON: Bakal presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan tindakan Donald Trump yang enggan mengakui kekalahannya dalam pilihan raya negara itu sebagai memalukan.
“Saya berterus terang, saya merasakan tindakan itu hanya memalukan.
“Bagaimana saya boleh menyatakannya dengan sebaik-baiknya. Saya rasa ia tidak akan membantu legasi presiden tersebut,” kata Biden ketika ditanya berhubung penolakan Trump untuk menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Presiden AS pada 3 November lalu.
Seminggu selepas Pilihan Raya Presiden AS, Trump kekal mendiamkan diri di White House dan menganggap kononnya akan menang dan memfailkan tuntutan mahkamah dengan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya itu.
Biden tetap menegaskan bahawa beliau adalah bakal presiden baharu meskipun Trump cuba menghalang peralihan kuasa.
“Hakikatnya mereka belum bersedia mengakui kami menang ketika ini, ia tidak membawa banyak kesan dalam perancangan kami,” katanya.
Dalam pada itu, Biden sudah berhubung dengan beberapa pemimpin negara asing termasuk Perdana Menteri Britain, Boris Johnson; Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin.
Sejak hari pilihan raya, Trump hanya membuat beberapa penampilan awam dan sudah tidak lagi menjalankan tugasnya sebagai presiden.
Beliau hanya dilihat berada di luar Rumah Putih sebanyak dua kali untuk bermain golf, selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Selain itu, taklimat rahsia perisikan kepada presiden dan sidang media harian sudah tidak lagi diadakan. – AFP










