ARAU: Kerjasama pembangkang menerusi ‘khemah besar’ mampu memberi lebih keyakinan kepada pengundi khususnya atas pagar memilih gabungan besar itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada masa sama, pembangkang perlu berani mengetengahkan lebih ramai pemimpin baharu yang lebih segar dan bukan hanya terlalu bergantung kepada pengaruh pemimpin-pemimpin seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Guan Eng semata-mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, pertembungan tiga penjuru atau lebih menyebabkan pelbagai naratif dalam kempen yang memecahkan sentimen pengundi.
Katanya, bagi menumpaskan Barisan Nasional (BN), pembangkang harus kembali kepada naratif perjuangan yang lebih kukuh.
Ujarnya, naratif yang digunakan pada PRU14 seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau terus mengulangi serangan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tidak relevan dan tidak berupaya lagi memikat hati pengundi.
“BN menang pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini bukan kerana pertambahan undi yang mendadak sebaliknya kekurangan orang yang mengundi pembangkang dan Perikatan Nasional (PN).
“Sejarah menunjukkan BN hanya mampu dikalahkan dengan kerjasama yang kukuh pembangkang dan naratif yang sama atau selari dalam menentang BN,” katanya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Dr. Mahathir mengakui hanya kerjasama antara parti parti politik termasuk pembangkang di bawah ‘khemah besar’ boleh menumbangkan BN dalam PRU15.

Namun Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, Pejuang menolak ‘khemah besar’ itu jika ia diterajui sama ada oleh Presiden PKR, Anwar atau Presiden Bersatu, Muhyiddin.

Muhammad Izmer berkata, tanpa kerjasama dalam khemah besar, parti-parti pembangkang hanya mampu menang di kerusi tradisi.
Katanya, sebagai contoh, Pas yang bertanding sendirian, mereka hanya mampu menang di Kelantan dan kadangkala di Terengganu atau Kedah.
“Kalau pembangkang hendak memastikan peluang lebih baik untuk menang menentang BN dalam PRU15, perlu satu lawan satu,” katanya. – UTUSAN











