Sambutan Maulid Nabi maya USIM - Utusan Malaysia

Sambutan Maulid Nabi maya USIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sempena memperingati detik bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW serta menghayati sirah dan sunahnya, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai buat julung kalinya menganjurkan program ‘USIM Berselawat Secara Maya’.

Walaupun pandemik Covid-19 sudah memasuki gelombang ketiga, ia tidak menghalang program secara tahunan ini diadakan dengan konsep dalam talian sesuai dengan norma baharu kini.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, USIM Berselawat diadakan bagi tujuan mengimarahkan kasih sayang terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata, kebiasaannya program ini diadakan dengan pengisian tazkirah dan persembahan selawat secara langsung.

Namun, katanya, pada kali ini ia dijalankan secara maya dan tetamu menyaksikan dan mengikuti semua acara yang berlangsung melalui paparan visual menggunakan aplikasi zoom.

USIM Berselawat dikendalikan oleh seorang pengacara majlis dan berinteraksi secara maya bersama kira-kira 40 tetamu.

Pada kali ini USIM Berselawat turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau turut menyampaikan tazkirah mengenai Nabi Muhammad SAW dan diakhiri dengan bacaan doa khas bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia daripada pandemik Covid-19.

 

DR. ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri menyampaikan tazkirah dalam program ‘USIM Berselawat Secara Maya’ baru-baru ini.

USIM Berselawat turut mengundang pengacara TV popular, Ahmad Fedtri Yahya yang juga Karyawan Seni USIM berkongsi pengalaman beliau semasa terlibat dalam pengambaran rakaman program Jejak Rasul.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas inisiatif yang dilakukan oleh Pusat Kebudayaan USIM dalam menyantuni masyarakat untuk menambahkan kecintaan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.

Yang turut serta adalah pihak pengurusan tertinggi USIM, rakan strategik USIM iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Karyawan Seni USIM, Datuk Nash, Sharifah Khasif dan Ikon-ikon Seni USIM.

Program tersebut turut disiarkan secara langsung melalui facebook Pusat Kebudayaan USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×