BERMULA hanya sekadar hobi, kini nama gadis cantik ini meniti di bibir peminat. Tidak hairan, dalam hanya tiga tahun bergelar penyanyi, dia telah berjaya merangkul trofi Bintang Paling Popular.
Namun tetap ada kegusaran yang hadir dalam diri empunya nama, Wany Hasrita ini. Sementelah industri seni menerima kehadiran pendatang baharu silih berganti, percaturan dan strategi kini menjadi pertaruhan.
Mungkin di mata segelintir pihak, nama Wany Hasrita sudah teguh di persada. Tetapi berbeza pula dengan pemilik nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah ini. Dia perlu merancang kariernya dengan lebih baik.
Mahu mencuba bidang berbeza selain nyanyian, bagi Wany, sudah tiba masanya untuk dia beranikan diri terjun ke dunia berbeza. Tidak boleh hanya selesa berdiri dalam ruang lingkup yang sama.
Apatah lagi, rakan-rakan seperjuangannya kini juga semakin rancak mengatur langkah. Pastinya, dia perlu sama berlari supaya tidak jauh ketinggalan. Cuma dia tahu, segalanya berbalik kepada rezeki. Namun, usaha perlu setimpal.
“Memang kalau diikutkan, saya masih perlu banyak belajar dalam dunia seni suara. Namun, sudah tiba masa untuk saya belajar benda baharu. Ambil risiko untuk mencuba bidang seni lain.
“Sebab itu saya terbuka sekiranya ada pihak yang mahu menawarkan saya menjadi pengacara. Pengalaman menjadi pengacara MeleTop untuk dua episod cukup mengujakan. Saya mahu terus mencuba.
“Penjenamaan semula nama perlu dititikberatkan. Saya tak boleh ambil mudah bab kerjaya. Saya juga mahu mencuba bidang lakonan. Memang kekok mula-mula, tapi lama-lama kita belajar,” katanya memulakan bicara.
Empat tahun mengemudi bahtera seni, ombak yang diredahi banyak mengajarnya. Pengalaman demi pengalaman mendewasakan dirinya. Wany kini boleh berbangga dengan langkah yang diatur setakat ini.
Tidak pernah sekali cuba untuk meletakkan noktah dalam kerjayanya, dia tahun hidup sebagai anak seni ada turun naiknya. Maka, dia perlu segala mencari lubuk pendapatan lain seperti bidang perniagaan.
“Memang ada terfikir untuk berniaga tetapi belum jumpa produk yang sesuai. Saya juga kena banyak belajar. Takut juga mahu berniaga ini. Dunianya berbeza. Silap haribulan, banyak rugi daripada untung nanti.
“Tetapi biarlah saya bermula daripada bawah. Perlahan bina jenama. Tidak mahu terlalu mencuba, takut nanti sekejap sahaja bertahan. Lebih baik saya fikirkan kualiti,” kata anak kelahiran Perak ini.










